Skip to main content
Berita TempatanSarawak

ADUN Opar Seru Komuniti Lundu Elak Pembakaran Terbuka Demi Kelestarian Alam

By 9 Oktober 2025Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Felix Harus (Sarawak)

LUNDU, 9 Okt (MalaysiaAktif) – Komuniti di Lundu diseru supaya menjalankan sebarang aktiviti pembakaran sisa pertanian secara berhemah dan terkawal, atau beralih kepada amalan pertanian moden tanpa pembakaran, bagi mengelakkan risiko kebakaran ketika cuaca panas dan kering.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata isiko membabitkan kebakaran tanah gambut pula suatu yang serius kerana memusnahkan flora dan fauna, merosakkan struktur tanah termasuk menjejaskan keseimbangan ekosistem dan biodiversiti.

“Ia sehingga mendatangkan kesan kepada hasil pertanian dan meningkatkan kos operasi pemadaman kebakaran, terutamanya di kawasan sukar diakses,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Komuniti Peningkatan Kesedaran Berkaitan Pembakaran Terbuka di Kawasan Tanah Gambut dan Kawasan Lain Berisiko Kebakaran untuk Mengatasi Jerebu, yang diadakan di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Kampus Lundu, kelmarin.

ADUN Opar Billy Sujang menyampaikan ucapan perasmian di CENTEXS Lundu.

Program yang diadakan sempena Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2025 itu bertujuan menyemai semangat cintakan alam sekitar, mengekalkan kualiti udara bersih dan meningkatkan kesedaran komuniti setempat terhadap larangan aktiviti pembakaran terbuka.

Billy menegaskan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh semua lapisan komuniti, bukan hanya tanggunjawab kerajaan semata-mata.

“Kualiti dan kelestarian alam sekitar yang baik menjamin kehidupan yang sihat, maka sewajarnya juga komuniti di Lundu mengambil iktibar daripada insiden kebakaran hutan yang pernah berlaku di Sarawak sebelum ini.

“Pembakaran terbuka yang tidak terkawal juga mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan awam, alam sekitar dan ekonomi malahan antara kesannya ialah pencemaran udara yang menyebabkan masalah pernafasan seperti asma, iritasi mata dan kulit akibat zarah halus serta gas toksik termasuk juga kepada faktor perubahan iklim dan pemanasan global,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Program Pencegahan Kebakaran dan Pengurusan Tanah Gambut, pembinaan 13 unit telaga tiub dan 31 sekatan saliran (check dam) oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bagi memastikan bekalan air mencukupi di kawasan berisiko, selain pembinaan menara tinjau.

John Rampai turut menyampaikan ucapan yang menekankan kesedaran komuniti sebagai kunci utama membendung masalah pembakaran terbuka.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, John Rampai berkata, program komuniti itu merupakan inisiatif penting dalam usaha melindungi serta memulihara alam sekitar, memandangkan pembakaran terbuka di kawasan tanah gambut memberi kesan besar terhadap kualiti udara, biodiversiti dan iklim global.

“Kesedaran komuniti adalah kunci utama dalam membendung masalah pembakaran terbuka walaupun geografi Lundu tidak mempunyai kawasan tanah gambut yang sering terbakar seperti di Kuala Baram, Mukah dan Lawas.

“Namun, masyarakat perlu sentiasa berwaspada kerana kebakaran belukar masih berlaku di beberapa kawasan terutama di sepanjang jajaran Pan Borneo Highway menuju ke Teluk Melano,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan sebanyak tujuh aktiviti dilaksanakan bersama komuniti Kampung Sebako I dan II antaranya Pertandingan Sebako Enviro Hike, Pertandingan Gubahan Bunga daripada Barangan Terpakai, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Ceramah dan Pameran, Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (BEE) dan Demonstrasi Pembuatan Kompos.

Billy bersama yang lain merakamkan foto kenangan di penghujung majlis.

Pengisian sampingan membabitkan ceramah kesihatan berkaitan fenomena jerebu oleh Pejabat Kesihatan Daerah Lundu dan pameran agensi melibatkan CENTEXS Lundu, Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan JAS.

Turut hadir Pegawai Daerah Lundu Awang Yusup Awang Mostapha, Timbalan Ketua Polis Daerah Lundu Mordani Tanin, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Norashikin Brahim, Ketua Kampus CENTEXS Lund Nor Ashikin Abdul Rahman, Pengurus HSE Chensain Konsultant Sd. Bhd Freddy Robert James dan Pengurus Bau Palm Oil Mill Sdn Bhd Penny Nyapay.

-RJ-

Tinggalkan komen anda