
Laporan/ foto : Felix Harus (Lundu)
LUNDU, 9 Okt (MalaysiaAktif) — Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak terus memperkukuh usaha memperkasakan minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) apabila mengangkat Daerah Lundu sebagai salah satu lokasi utama Program Jelajah Astronomi 2025 Sarawak.

Ucapan perasmianADUN Opar Billy Sujang.
Program berteraskan pendidikan sains angkasa itu merupakan anjuran bersama Planetarium Negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama MEITD Sarawak, dan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu, hari ini.
Dalam ucapan perasmiannya, Billy menyifatkan pemilihan Lundu sebagai lokasi jelajah adalah satu langkah bermakna dalam membawa sains dan inovasi lebih dekat kepada masyarakat luar bandar.
“Membawa acara jangkauan sains peringkat nasional ke daerah seperti Lundu amat bermakna dan ia mencerminkan usaha berterusan kerajaan memberi peluang sama rata kepada pelajar luar bandar untuk meneroka ilmu dan inovasi sebagaimana rakan mereka di bandar,” katanya.

Ucapan aluan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Anielia Siam.
Beliau menambah program seumpama itu penting bagi mencetuskan rasa ingin tahu dan imaginasi dalam kalangan pelajar serta membuka ruang kepada mereka membayangkan masa depan dalam kerjaya berasaskan STEM.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap MEITD Sarawak Anielia Siam dalam ucapan aluannya berkata pemilihan Sarawak sebagai destinasi utama Program Jelajah Astronomi 2025 turut membuktikan potensi negeri itu sebagai peneraju pendidikan dan inovasi berasaskan sains di rantau Borneo.
“Lundu bukan sahaja dikenali dengan keindahan alam semula jadinya tetapi kini turut muncul sebagai gerbang kepada pembelajaran dan penerokaan astronomi dan sains angkasa khususnya bagi komuniti luar bandar,” ujarnya.

Billy (tengah) mencuba cermin mata yang disediakan untuk melihat matahari.
Program Jelajah Astronomi 2025 yang turut akan diadakan di Serian pada 13 Oktober nanti sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan pembangunan berasaskan pengetahuan, inovasi dan teknologi.
Majlis turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pembudayaan Planetarium Negara Mismah Jimbun, Pegawai Daerah Lundu Awang Yusup Awang Mostapha, Ketua Kampus CENTEXS Lundu Nor Ashikin Abdul Rahman, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Norashikin Brahim, Pegawai Penerangan Daerah Lundu Aishah Latip, ketua masyarakat dan ketua kaum serta pelajar sekolah di sekitar Lundu





