Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Ex Gasak Perkukuh Koordinasi Agensi Keselamatan di SZB

By 15 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)

SUBANG JAYA, 15 Okt (MalaysiaAktif) – Lebih 200 anggota daripada pelbagai agensi menyertai latihan kecemasan Ex Gasak di Lapangan Terbang Subang (SZB), di sini semalam.

Latihan berkenaan diadakan bagi menguji keberkesanan koordinasi di antara agensi keselamatan dan operasi lapangan terbang dalam menghadapi insiden sabotaj dan tindakan agresif yang menyalahi undang-undang.

Ahmad Fikri (kanan) bersama Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed ketika sidang media ini Latihan Simulasi Kecemasan Ex Gasak yang diadakan di Lapangan Terbang Subang, semalam.

Pengurus Lapangan Terbang Subang Ahmad Fikri Samsudin, berkata latih amal itu melibatkan senario berskala penuh yang melakonkan semula kemungkinan insiden yang berpotensi menjejaskan operasi harian di lapangan terbang, termasuk kebocoran bahan kimia berbahaya dan penculikan berprofil tinggi.

“Latihan-latihan ini amat penting untuk memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi serta koordinasi yang berkesan dalam kalangan semua agensi yang terlibat.

“Ia meningkatkan keupayaan kolektif kita untuk bertindak dengan pantas dan tegas dalam situasi kecemasan,” katanya pada sidang media di SZB, semalam.

Ahmad Fikri turut menegaskan semua prosedur yang dilaksanakan adalah mengikut garis panduan Pelan Kontinjensi Lapangan Terbang (ACP).

Agensi yang terlibat melakonkan insiden sabotaj di lapangan terbang ketika Latihan Simulasi Kecemasan Ex Gasak di Lapangan Terbang Subang.

Sebagai pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports terus bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan lapangan terbang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab terhadap keselamatan penumpang serta komuniti lapangan terbang.

Ahmad Fikri turut mengakui simulasi berkenaan juga merupakan persediaan menghadapi Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 hingga 28 Oktober ini.

“Latihan hari ini bukanlah khusus semata-mata untuk persediaan menerima delegasi ASEAN, ianya penting bagi menguji tahap kesiapsiagaan keselamatan tetap diberikan keutamaan bagi semua operasi penerbangan,” katanya.

Antara agensi yang menyertai Ex Gasak adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Selangor serta syarikat-syarikat penerbangan.

-RI

Tinggalkan komen anda