
Laporan/ foto: Asfalila Razak (Sarawak)
DARO, 5 Okt (MalaysiaAktif) – Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Daro telah menganjurkan program ceramah bersama Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi yang merupakan pensyarah kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang membincangkan hadis-hadis berkenaan kekeluargaan di Masjid Al-Muhsinin di sini, semalam.

Dr Ahmad Sanusi menyampaikan ceramah berkenaan institusi kekeluargaan di Masjid Al-Muhsinin, Daro.
Program berkenaan bertujuan memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap ajaran Islam berkaitan konteks kekeluargaan berpandukan hadis Rasulullah SAW sebagai panduan membina keluarga yang harmoni dan berakhlak mulia.
Dalam ceramahnya, Ahmad Sanusi turut menjelaskan bahawa seorang suami perlu memahami tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga dengan melaksanakan amanah secara penuh kasih sayang, keadilan dan kebijaksanaan, sebagaimana dicontohi oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan berkeluarga.
“Keluarga yang berpegang pada nilai keagamaan dan berpaksikan sunnah pula akan melahirkan masyarakat yang kuat, sejahtera dan berdaya tahan menghadapi cabaran dunia moden,” katanya lagi.
Program yang mendapat sambutan baik masyarakat setempat itu merupakan sebahagian daripada Siri Jelajah Ilmiah Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi merentasi beberapa daerah di Sarawak, bermula di Saratok, disusuli Sarikei, Tanjung Manis dan Daro, sebelum diteruskan ke Mukah dan menutup tirai di Bintulu.

Antara peserta yang hadir mendengar ceramah yang disampaikan Dr Ahmad Sanusi di Masjid Al-Muhsinin.
“Saya berpandangan program sebegini wajar diteruskan pada masa hadapan bagi membolehkan lebih ramai masyarakat Islam mendapat manfaat dan pendedahan ilmu agama yang menyeluruh,” ujar Mokhtar Hasim, 66, salah seorang peserta yang ditemui di sesi ceramah tersebut.
Peserta turut mengambil peluang untuk mendapatkan buku karya Ahmad Sanusi sebagai bahan bacaan tambahan yang menghimpunkan kupasan hadis-hadis kekeluargaan dan panduan ilmiah dalam mengurus rumah tangga menurut sunnah.
-RJ-





