
Laporan/foto: Hamidah Hamid (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 29 Okt (MalaysiaAktif) – Nilai amanah dan kejujuran perlu dijadikan asas dalam dunia keusahawanan agar kejayaan yang dicapai mampu memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.

Aktiviti robotik menarik minat murid dan memberi pendedahan kepada kemahiran teknologi.
Pengarah RIQ Construction, Abdul Fariq Mohd Salehuddin, berkata usahawan bukan sahaja perlu bijak mencari peluang, tetapi juga berpegang pada nilai-nilai murni yang menjadi tunjang kepada keusahawanan beretika.
“Usahawan yang berjaya bukan sahaja bijak mencari peluang, tetapi juga perlu berpegang pada nilai amanah dan kejujuran. Saya melihat anak-anak di sini menunjukkan semangat yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Keusahawanan Smart Khalifah Kids Peringkat Negeri Sembilan 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Juasseh, di sini hari ini.
Karnival yang bertemakan ‘Bijak Berniaga, Berakhlak Mulia’ itu diadakan seiring dengan rukun Kemampanan dalam Malaysia MADANI, dengan tujuan melahirkan generasi celik keusahawanan berintegriti.

Suasana meriah di padang SK Pusat Juasseh sempena Karnival Keusahawanan Smart Khalifah Kids 2025.
Program berkenaan turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum kerjasama antara SK Pusat Juasseh dan SK Tunku Munawir bagi pertukaran kemahiran tenaga pengajar dalam bidang pendidikan keusahawanan.
Selain mencungkil bakat murid dalam bidang perniagaan, penganjuran karnival tersebut juga bertujuan memupuk akhlak dan jati diri yang selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Pelbagai aktiviti menarik seperti jualan keusahawanan, pameran dan showcase kesetiawanan turut diadakan bagi memberi pendedahan awal kepada murid mengenai dunia perniagaan dan semangat keusahawanan.
-RI





