
Laporan/foto: Siti Zuraida Md Nor Aidi (Jempol)
JEMPOL, 19 Okt (MalaysiaAktif) – Program Karnival Larian Subuh 2.0 dan Sukan Rakyat anjuran Kumpulan Anak Felda (KAF) Felda Raja Alias 4 berlangsung meriah di Padang Felda Raja Alias 4 dengan kehadiran ratusan penduduk setempat dari seluruh kawasan Felda Raja Alias.

Shamshulkahar ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Program komuniti yang berlangsung pagi tadi bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan, perpaduan dan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di samping memperkukuh hubungan antara generasi muda dan masyarakat setempat.
Majlis perasmian karnival tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jempol merangkap Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.
Menurutnyai, aktiviti berbentuk komuniti seperti ini bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah memupuk nilai kebersamaan dan semangat gotong-royong dalam kalangan warga Felda, selaras dengan aspirasi pembangunan masyarakat yang sejahtera.
Beliau turut mengulas Belanjawan 2026 yang memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti luar bandar, peningkatan kemudahan awam dan peluang ekonomi untuk generasi muda Felda.
“Kerajaan komited memastikan Belanjawan 2026 akan terus memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar termasuk warga Felda.
“Fokus kita adalah memperkukuh ekonomi setempat, menambah baik kemudahan sukan dan rekreasi, serta memperluas program keusahawanan belia,” ujarnya.

Sekitar program
Shamshulkahar turut menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur atas penganjuran program yang berperanan besar dalam membina masyarakat sihat dan harmoni.
Pelbagai aktiviti yang diadakan termasuk larian subuh, sukan rakyat, pertandingan mewarna kanak-kanak, sukaneka keluarga, pameran agensi kerajaan, jualan usahawan tempatan serta taklimat Belanjawan 2025 oleh Pejabat Penerangan Daerah yang menyemarakkan suasana karnival sejak awal pagi.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang acara sukan rakyat serta cabutan bertuah yang menceriakan lagi suasana karnival.
Karnival Larian Subuh 2.0 dan Sukan Rakyat jelas mencerminkan komitmen KAF Felda Raja Alias 4 dalam memartabatkan gaya hidup sihat, memperkukuh perpaduan komuniti dan menyokong agenda pembangunan negara seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2026.
-RI






