
Laporan/ foto: Intan Saziana/ Norisam Sahidan (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 30 Okt (MalaysiaAktif) – Kedai Kulaan Kak Ros yang menjual pelbagai hasil tempatan semakin mendapat tumpuan pelancong yang berkunjung ke Cameron Highlands.

Jagung susu yang ditempah oleh pelancong di Kedai Kulaan Kak Ros
Terletak di kawasan strategik, kedai ini terkenal dengan pelbagai jualan hasil tempatan seperti ubi keledek, madu, strawberi segar, jagung manis serta cenderamata yang menjadi pilihan pengunjung untuk dijadikan buah tangan.
Menurut pemiliknya, Rosnah Abdullah, 50, atau lebih dikenali sebagai Kak Ros, idea untuk membuka Kedai Kulaan ini timbul daripada minat beliau untuk memperkenalkan produk tempatan kepada pelancong.
“Saya mahu pengunjung yang datang ke Cameron Highlands bukan sekadar menikmati keindahan alam semula jadi, tetapi juga dapat membeli produk tempatan masyarakat di sini,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, sambutan yang diterima amat menggalakkan, terutamanya pada musim cuti sekolah dan hujung minggu.

Sayuran segar turut dijual di Kedai Kulaan Kak Ros
“Alhamdulillah, pelanggan ramai datang dari pelbagai negeri. Saya turut membantu memasarkan produk penduduk sekitar seperti strawberi, madu dan sayur-sayuran tempatan,” katanya.
Ujarnya lagi, ramai pelancong yang sudah biasa membeli di kedainya membuat tempahan awal untuk dibawa pulang ke tempat masing-masing.
Kemesraan Kak Ros dalam melayan pelanggan turut menjadi faktor utama yang menarik pelancong untuk singgah dan membeli di kedainya.
Sikap ramah dan mesra beliau menjadikan pelanggan berasa seperti berurusan dengan rakan sendiri, sekali gus mewujudkan suasana yang selesa dan ceria di kedainya.
-AA-





