
Laporan/foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)/KPKT
SEPANG, 14 Okt (MalaysiaAktif) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM15 juta bagi melaksanakan 87 projek pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan keselamatan di 50 Perkampungan India di seluruh negara pada tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata peruntukan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat India di luar bandar dan separa bandar melalui penyediaan prasarana asas yang lebih baik
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata peruntukan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat India di luar bandar dan separa bandar melalui penyediaan prasarana asas yang lebih baik.
“Projek pembangunan fizikal yang kita laksanakan hari ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kemudahan dan infrastruktur, tetapi turut membuka peluang ekonomi dan sosial kepada komuniti setempat.
“Dengan adanya infrastruktur yang baik, masyarakat akan lebih mudah mengakses kemudahan, menjalankan aktiviti ekonomi dan meningkatkan taraf hidup secara menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih MADANI Deepavali di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, hari ini.
Nga berkata daripada jumlah tersebut, RM10 juta merupakan peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu di bawah Belanjawan 2025, khusus bagi Projek Pembangunan Fizikal di Perkampungan India.
Peruntukan itu meliputi tiga skop utama iaitu infrastruktur, kemudahan awam dan keselamatan, termasuk kerja-kerja menaik taraf jalan, longkang, balai raya, dewan serbaguna serta pemasangan lampu solar di kawasan terlibat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika Majlis Sentuhan Kasih MADANI Deepavali di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, hari ini.
Pada tahun ini, Anwar turut mengumumkan empat inisiatif tambahan di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) 2025 yang diselaraskan oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti India.
Dalam majlis sama, Nga turut menyampaikan replika cek berjumlah RM5.75 juta kepada kerajaan negeri Selangor bagi pelaksanaan 30 projek pembangunan fizikal di perkampungan India negeri itu.
KPKT katanya akan terus memastikan setiap inisiatif yang diluluskan dilaksanakan secara berkesan agar memberi impak langsung kepada komuniti sasar, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan inklusif dan seimbang.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu, dan EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor, Papparaidu Veraman.
-FN





