Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Lebah Tanpa Sengat, Tapi Hasilnya Menyengat!

By 29 Oktober 2025November 1st, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Aini Aziz/ Zaharudin Ismail

HULU TERENGGANU, 29 Okt (MalaysiaAktif) – Berbekalkan minat mendalam terhadap dunia ternakan, Mohd Imran Rosli kini berjaya mengusahakan lebih 100 kotak haif kelulut selepas hampir sembilan tahun menceburi bidang tersebut.

Sarang kelulut yang mengandungi madu asli di dalam kotak haif yang dipelihara oleh Mohd Imran Rosli

Menurut Imran, 41, beliau memulakan ternakan pada tahun 2016 hanya dengan sebuah kotak haif kelulut, namun hasil usaha berterusan dan minat mendalam membuahkan kejayaan yang membanggakan.

“Cabaran utama masa mula dulu ialah modal permulaan. Harga satu kotak haif kelulut boleh mencecah antara RM250 hingga RM800, bergantung kepada kualiti dan fungsinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaAktif di kebun ternakan kelulut yang disewanya di Kampung Pauh, di sini kelmarin.

Selain cabaran modal, Imran turut berdepan ancaman daripada musuh kelulut seperti katak minyak, semut, anai-anai, beruang dan monyet.

Kini, antara spesis kelulut yang dipeliharanya ialah G. Thoracica, L. Terminata dan H. Itama.

Antara kotak haif kelulut yang ditempatkan di kawasan kebun ternakan kelulut sewaan milik Mohd Imran Rosli di Kampung Pauh, Hulu Terengganu

Tidak hanya menjual madu tulen, Imran bersama isterinya turut mengembangkan perniagaan dengan menghasilkan produk berasaskan madu kelulut seperti sabun muka, ubat resdung dan minyak rambut yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Permintaan terhadap madu kelulut sentiasa ada kerana ramai yang mula sedar khasiatnya untuk kesihatan dan kecantikan,” katanya.

Pasangan ini turut memasarkan produk mereka secara langsung di Pasar Pagi Hiliran setiap Khamis dan Sabtu, selain menerima tempahan secara pos bagi pelanggan dari luar daerah.

Kini, Imran memiliki dua lokasi ternakan utama di Kampung Pauh dan Kampung Temir, sekaligus membuktikan bahawa kegigihan dan minat yang mendalam mampu membuka jalan rezeki yang luas.

-AA-

Tinggalkan komen anda