
Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 4 Okt (MalaysiaAktif) – Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Langkawi (A-KAWI) 2025 meraikan seramai 70 pelajar dari tiga buah sekolah di pulau berkenaan yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Acara gimik perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Langkawi (A-KAWI) tahun 2025 disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LADA (tiga dari kiri).
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Seri Iskandar Datuk Mohd Kaus berkata penganjuran A-KAWI pada setiap tahun adalah manifestasi penghargaan kepada pelajar yang berjaya dalam peperiksaan utama seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta penerima anugerah khas lain.
“Diharapkan sumbangan dan sokongan daripada LADA ini dapat memartabatkan semula kecemerlangan pendidikan dan pembangunan modal insan para pelajar di pulau ini, seterusnya melahirkan pemimpin berkaliber yang mampu menerajui pembangunan Langkawi dan negara pada masa hadapan,” kata Iskandar dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel, di sini kelmarin.

Nurul Umaira dari SMK Tunku Putra Langkawi.
Majlis kali ini menyaksikan17 pelajar STPM dan 53 pelajar SPM menerima penghargaan, selain penyampaian pelbagai kategori anugerah termasuk Sekolah Menengah Terbaik (SPM), Anugerah Lonjakan Perdana Sekolah Menengah, Anugerah Pelajar Terbaik (Keseluruhan), Anugerah Cemerlang Kokurikulum, Anugerah Pendidikan Khas (Sekolah Menengah) serta Anugerah Tokoh Pendidikan A-KAWI 2025.
Penerima Anugerah Pelajar Terbaik Pendidikan Khas (Sekolah Menengah) Nurul Umaira Mohd Shatar, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra melahirkan rasa syukur atas penghargaan yang diterima dan berazam untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
Penganjuran Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Langkawi (A-KAWI) 2025 bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada pelajar cemerlang, malah menjadi pemangkin semangat dalam melahirkan generasi muda Langkawi yang berilmu, berkualiti dan berdaya saing.
-RI





