
Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)
BALING, 4 Okt (MalaysiaAktif) – Program Wayang Pacak yang diadakan di Kampung Bok Bak, di sini, oleh Pejabat Penerangan Daerah Baling berjaya membangkitkan semula suasana nostalgia hiburan rakyat lama menerusi tayangan filem terbuka sempena program JIWA@Komuniti MADANI: Sembang Santai, semalam.

Sebahagian penduduk yang hadir.
Tayangan filem tempatan yang sarat dengan nilai murni seperti kekeluargaan, perpaduan dan tolak ansur menjadi pengisian utama, sekali gus mengimbau kenangan masyarakat kampung sebelum kemunculan televisyen dan internet.
Penduduk tempatan Mohd Hassan, 54, berkata penganjuran program itu mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanaknya.
“Dulu kalau dengar lori wayang masuk kampung, semua budak-budak akan riuh. Duduk ramai-ramai atas tikar tengok wayang hitam putih pun dah seronok. Sekarang bila program ini dihidupkan semula, rasa macam balik ke masa silam,” katanya.
Selain tayangan filem, turut diadakan sesi penerangan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) mengenai inisiatif kerajaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan agenda Malaysia MADANI.

Amran ketika menyampaikan isu-isu semasa kepada yang hadir,
Pegawai Penerangan Daerah Baling Amran Mohamad Kamis berkata Wayang Pacak bukan sekadar hiburan, tetapi juga medium komunikasi berkesan bagi menyampaikan mesej pembangunan dan kesedaran sivik kepada masyarakat.
“Program seperti ini mendekatkan rakyat dengan mesej pembangunan serta memupuk semangat kenegaraan melalui pendekatan santai dan tradisional,” katanya.
Sambutan menggalakkan terhadap wayang pacak membuktikan nilai kebersamaan dan semangat muafakat masyarakat kampung masih kukuh, sekali gus menjadikan pendekatan tradisi ini sebagai wadah terbaik dalam memperkukuh hubungan komuniti dan kerajaan.
-RI





