Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

MB Seru Pelajar Manfaat Peluang Keemasan dalam Pendidikan

By 25 Oktober 2025Oktober 27th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 25 Okt (MalaysiaAktif) – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyeru pelajar negeri itu merebut setiap peluang yang disediakan dalam bidang pendidikan demi menjamin masa depan yang lebih cemerlang.

Amirudin menurunkan tanda tangan merasmikan Seminar Skor A+ SPM 2025.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa komited memperkukuh akses pendidikan kepada anak-anak Selangor melalui pelbagai kemudahan dan program khas yang bakal diumumkan menjelang pembentangan Belanjawan Negeri pada 14 November ini.

“Kita ada calon, kita ada peluang yang baik. Gunakan peluang itu dengan sebaik mungkin kerana inilah salah satu pintu kejayaan yang akan membuka masa depan lebih luas untuk anda semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Seminar Skor A+ Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sekolah Menengah Setia Budi, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata kerajaan negeri akan memperkukuh kerjasama dengan institusi milik negeri seperti Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS) bagi memberi ruang lebih luas kepada pelajar tempatan melanjutkan pelajaran.

“Kita nak pastikan anak-anak Selangor ada kelebihan. Bezanya di Selangor, kerajaan akan tawarkan insentif dan kemudahan khas melalui dana yang kukuh hasil prestasi ekonomi negeri yang semakin baik,” katanya.

Pelajar dan guru berswafoto bersama Amirudin Shari.

Amirudin turut menegaskan bahawa pendidikan berkualiti adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan generasi muda mampu menerajui pembangunan negeri dengan ilmu dan nilai yang mantap.

Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan kepada pelajar agar tidak berputus asa dalam menghadapi kegagalan, sebaliknya menjadikannya sebagai pengajaran untuk terus melangkah ke hadapan.

“Jangan takut kalau kita silap atau gagal, yang penting jangan ulang kesilapan yang sama,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda