Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Nadi Warisan Irama Tradisi, Segar di Hati Generasi Muda

By 28 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 28 Okt (MalaysiaAktif) – Festival Gendang Sarawak 2025 yang diadakan sempena Regatta Sarawak dan Festival Tebingan Kuching tahun ini terus memainkan peranan penting dalam menghidupkan seni warisan negeri.

Bertemakan “Nadi Warisan Irama Tradisi”, festival ini berjaya menarik penyertaan ramai golongan muda yang bersemangat memartabatkan warisan budaya Bumi Kenyalang.

Turut dipertandingkan kategori Tandak Berpasangan Kanak-kanak oleh Kumpulan Pewaris Telaga Air .

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu menjadi medan memperkenalkan keindahan seni gendang tradisional Sarawak dan tandak iaitu tarian yang mencerminkan sebahagian budaya Melayu di sini.

Penganjuran tahun ini turut memperlihatkan sambutan menggalakkan daripada generasi muda yang berusaha memastikan kesinambungan seni gendang Sarawak tidak lenyap ditelan arus moden di samping menjadi ruang kepada anak muda menonjolkan bakat termasuk memahami nilai budaya di sebalik setiap alunan rentak tradisi.

Bagi peserta muda Muhammad Khairul Isham Khalid, 19, yang ditemui petang semalam berkata, penyertaan dalam festival ini bukan sahaja satu penghargaan terhadap warisan nenek moyang, malah menjadi wadah memperkukuh rasa bangga terhadap budaya sendiri.

Muhammad Khairul  (kanan) bersama pasangan Muhammad Nasrullah Reduan mewakili Kumpulan Warisan Kabong dalam Kategori Tandak Berpasangan Dewasa Lelaki.

“Saya mula mempelajari tandak gendang Sarawak sejak kecil dan sehingga kini ia telah sebati dalam diri saya.

“Sebagai generasi muda, seni warisan ini perlu terus dipupuk agar tidak ditelan zaman, di samping menjadi platform yang menghubungkan generasi lama dan baharu,” ujar Khairul Isham yang pertama kali menyertai festival ini.

Sementara itu, Muhamad Nur Fairuz Bolkiah, 23, pelajar tahun akhir Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata minatnya terhadap seni gendang Sarawak bermula sejak berumur lapan tahun di bawah bimbingan gurunya, Majidi Saemon.

Muhamad Nur Fairuz bersama Majidi (kiri) yang telah membimbingnya sejak dari kecil lagi.

“Ini merupakan penyertaan saya yang ketiga dalam Festival Gendang Sarawak, bermula sejak tahun 2023 dan akan terus menyertai mana-mana program bagi memastikan seni gendang Sarawak terus hidup dalam kalangan generasi muda.

“Sebagai anak muda, saya amat berharap rakan-rakan sebaya cuba membuka hati untuk belajar kesenian tradisional ini, jangan biarkan ia hilang, sebab bukan semua orang dapat mewarisi warisan ini,” katanya lagi.

Penganjuran festival ini membuktikan bahawa seni tradisional masih mendapat tempat di hati anak muda yang secara langsung memperkukuh usaha Kerajaan Sarawak memperkasakan budaya tempatan melalui pendekatan kreatif dan inklusif.

Dengan semangat “Nadi Warisan Irama Tradisi”, generasi muda Sarawak diyakini mampu menjadi penerus alunan irama yang menjadi nadi kepada warisan bangsa.

-RJ-

Tinggalkan komen anda