Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Nasi Lemak Seringgit Bus Stop Matang Jaya

By 27 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Dayang Koh Nanong Awang Jaie/ Hussein Rajiden/ Zamhari Abdul Khalik (Sarawak)

KUCHING, 27 Okt (MalaysiaAktif) – Seawal jam 6.30 pagi, Norlia Peri, 45, dari Kampung Silang Laut telah memulakan rutin hariannya menjual Nasi Lemak Seringgit di Perhentian Bas, Matang Jaya yang dikenali dengan nama ‘Nasi Lemak Bus Stop Matang Jaya’.

Norlia yang ditemui MalaysiaAktif semalam memaklumkan sekitar 300 bungkus nasi lemak dijual setiap hari kecuali Ahad, sentiasa ditemani ibunya, Seriah Sulong, 71 dan pada musim cuti sekolah, anak-anaknya turut membantu menjual di lokasi yang sama.

Menceritakan pengalaman berniaga nasi lemak sejak lima tahun lalu dan telah melalui pelbagai cabaran terutamanya ketika berniaga di kawasan riadah Sungai Cina, Matang, peniagaan beliau tidak bertahan lama kerana kurang mendapat sambutan.

Beliau juga terkenang kembali bagaimana ketika itu nasi lemak yang dijual pada harga RM1.50 tetapi hanya sekitar 10 bungkus sahaja terjual setiap hari sehinggakan situasi itu hampir menimbulkan rasa putus asa.

Penjual Nasi Lemak Bus Stop Matang Jaya Norlia Peri (kanan) bersama ibunya Seriah Sulong.

Namun, berkat sokongan dan idea suami tercinta, Muhamad Akim Arif, 42, yang mencadangkan agar harga diturunkan kepada RM1, rezeki mereka mula terbuka luas.

“Walaupun pada mulanya saya bimbang tentang kos dan modal, keputusan itu ternyata membawa keberkatan sehingga ke hari ini dan jika rezeki sudah tertulis, tiada siapa dapat menidakkannya,” ujar Norlia sambil tersenyum.

Kini, hasil jualan nasi lemak seringgit itu bukan sahaja mampu menampung perbelanjaan keluarga malah membantu beliau membesarkan anak-anak hingga ada yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Nasi lemak yang dijualnya bagaikan terdapat tarikan keenakkan kerana ada pelanggan yang membeli untuk disedekahkan dan ada juga yang meminta agar nasi lemak yang dibeli diberikan kepada pelanggan lain secara percuma.

Selain nasi lemak, beliau turut menjual mihun dan mee kasar yang disediakan oleh kakaknya, Salbiah Peri, 47 dan kedua-duanya juga mendapat sambutan daripada pembeli yang inginkan kepelbagaian pilihan.

Keistimewaan nasi lemak Norlia terletak pada sambal bilis asli tanpa belacan, menjadikan rasanya digemari ramai pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat terutamanya pelajar sekolah, guru, kakitangan awam dan swasta, pekerja industri serta pihak pengurusan masjid.

Nurul Ain Aidil, pelanggan setia Nasi Lemak Bus Stop Matang Jaya menikmati nasi lemak untuk sarapan pagi di pejabat.

Kebiasaannya, pada Ahad, beliau menerima tempahan khas bagi mereka yang ingin membuat pesanan lebih 100 bungkus dan pernah sekali menerima tempahan sebanyak 500 bungkus dari sebuah masjid di Kuching.

“Selain menyediakan pesanan dalam jumlah kuantiti yang banyak daripada pembeli, saya turut menawarkan perkhidmatan penghantaran (COD) dengan caj sebanyak RM10 bergantung kepada jarak, sehinggakan setakat ini kawasan penghantaran paling jauh ialah di kawasan Batu Kawa,” katanya lagi.

Perniagaan kecil beliau pernah tular di media sosial dan telah menarik perhatian pelbagai pihak termasuk media cetak dan elektronik, menyebabkan nasi ‘Nasi Lemak Bus Stop Matang Jaya’ semakin dikenali dan bagi sesiapa yang berminat untuk membuat tempahan, Norlia boleh dihubungi melalui talian 0143748665.

-RJ-

Tinggalkan komen anda