Skip to main content
Sabah

NOW Perluas Keterhubungan, Perkasa Komuniti Pedalaman – Fahmi

By 15 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Johny George Kimlon (Sipitang)

SIPITANG, 15 Okt (MalaysiaAktif) – Program NADI on Wheels (NOW) menjadi bukti komitmen kerajaan dalam memperluas keterhubungan dan memperkasakan komuniti pedalaman agar tidak tercicir daripada arus kemajuan negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi (KK) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu selaras dengan semangat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk membawa kemajuan, ilmu dan keterhubungan di setiap pelosok tanah air.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (dua dari kiri) memeriksa komponen dalam NOW yang dilengkapi satelit Starlink, komputer riba, tablet, projektor, tenaga solar mudah alih serta sistem Wi-Fi.

“NOW merupakan pusat bergerak yang direka untuk membawa kemudahan teknologi dan perkhidmatan berasaskan komuniti terus kepada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman yang sukar dicapai.

“Kenderaan ini dilengkapi dengan satelit Starlink berkelajuan hingga 250 Mbps, komputer riba, tablet, projektor, tenaga solar mudah alih serta sistem Wi-Fi percuma,” katanya kepada media selepas melancarkan NADI on Wheels (NOW) Peringkat Negeri Sabah sempena Hari Bersama Komuniti (HBK) di sini, hari ini.

Fahmi berkata NOW turut menyediakan ruang interaktif bagi pelaksanaan aktiviti latihan, pembelajaran komuniti dan program Perkhidmatan Pintar NADI.

“Ini sangat baik dan kita sebelum ini telah ada dua NOW di Semenanjung, satu di Sarawak dan ini yang keempat di Sabah. Hasrat Kementerian adalah untuk meningkatkan jumlah NOW,” katanya.

Beliau berkata melalui inisiatif tersebut, NOW berupaya menyantuni rumah anak yatim, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), masyarakat Orang Asli serta komuniti terpencil agar mereka juga dapat menikmati kemajuan teknologi.

“Perkhidmatannya dapat sampai kepada komuniti yang terletak mungkin sedikit jauh daripada NADI-NADI yang telah diwujudkan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (tengah) menyantuni murid-murid Sekolah Kebangsaan Sindumin di NADI Pekan Sindumin.

“Kita ada 1,099 NADI di seluruh negar dengan  131 di negeri Sabah sahaja. Walau bagaimanapun, biasanya komuniti yang paling banyak mendapat manfaat daripada adalah komuniti yang terletak di sekitar 3 kilometer (km) ataupun 2km dari NADI.

“Maka, hasrat kerajaan khususnya KK dan MCMC adalah untuk perluaskan jumlah ahli dan jumlah pengguna (dalam) menyampaikan maklumat yang tepat mengenai isu-isu seperti keselamatan dalam talian, cara memanfaatkan internet terutama untuk keusahawanan serta lain-lain perkhidmatan,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC Datuk Zurkarnain Mohd Yasin.

-FN

Tinggalkan komen anda