Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Peserta Sukan Rakyat Gamatkan Suasana Pagi Kampung Binjul Dalam

By 12 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Kedah)

BALING, 12 Okt (MalaysiaAktif) – Peserta sukan rakyat menggamatkan suasana Kampung Binjul Dalam dengan hampir 100 orang menyertai pertandingan bersempena Program JIWA@Komuniti MADANI (Kemasyarakatan) Kampung Binjul Dalam, Kuala Ketil, di sini pagi semalam.

Antara permainan sukan rakyat tradisi yang dipertandingkan ialah tarik upeh pinang, boling kelapa, terompah kelapa, mengail botol, tarik tali dan lambung kasih.

Kerjasama erat penduduk bersama ahli jawatankuasa Komuniti MADANI dibuktikan dengan menyiapkan peralatan sukan rakyat seperti upeh pinang, terompah tempurung kelapa, mengikat kail untuk pertandingan pancing botol dan persiapan tempat secara bergotong royong.

Permainan pancing botol kanak-kanak turut mendapat sambutan.

Penyertaan golongan muda dalam sukan rakyat ini membuktikan bahawa program sebegini masih relevan untuk dilaksanakan di peringkat akar bumbi.

Inisiatif mengadakan pelbagai acara ini adalah bagi menggamit kembali nostalgia sukan rakyat yang sering dimainkan pada waktu dahulu.

Seorang penduduk yang ditemui, Hasnah Ibrahim, 52, berkata sukan rakyat yang disertainya adalah bagi menggamit kembali memori zaman kecil dahulu.

“Sambil itu juga, dapat membeli barangan keperluan harian yang lebih murah melalui Jualan Rahmah MADANI yang diadakan serentak,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Program di bawah seliaan Pejabat Penerangan Daerah Baling mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk sekitar.

Pegawai Penerangan Daerah Baling menyampaikan hadiah kepada pemenang tarik upeh kategori wanita.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Baling, Amran Mohamad Kamis, legasi keharmonian antara penduduk kampung seharusnya selari dengan kerjasama erat yang ditunjukkan melalui kejayaan program yang dilaksanakan di peringkat komuniti .

“Dan melalui kewujudan sembilan Komuniti MADANI yang ditubuhkan di daerah ini telah berjaya memenuhi hasrat kerajaan dalam memperkasakan agenda Malaysia MADANI,” ujarnya.

Program ini juga telah mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah melalui Jualan Rahmah MADANI yang turut diadakan khusus untuk penduduk kampung dengan jualan barang keperluan harian yang diberi diskaun sebanyak 30 peratus.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Pusat Kebajikan Semalaysia Datuk Khairul Azhar Abdullah.

-RI

Tinggalkan komen anda