Skip to main content
Berita TempatanSabah

Gelak Tawa, Gurau Senda Keterlaluan Antara Bentuk Buli

By 24 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Penampang)

PENAMPANG, 24 Okt (MalaysiaAktif) – Gelak tawa dan senda gurau antara rakan turut boleh menjadi punca trauma dan meninggalkan kesan psikologi terhadap mangsa buli terutama dalam kalangan remaja.

Perbuatan buli fizikal ini sering dianggap ringan oleh segelintir pihak, namun sebenarnya ia meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi dan masa depan mangsa.

Roziah semasa ditemubual berkenaan ‘Buli Fizikal’ untuk program bual bicara Influencer@JAPEN Sabah di studio BMS Jabatan Penerangan Sabah.

Pegawai Turus (D11), Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, DSP Roziah Abdul Rashid berkata buli fizikal bukan sekadar perbuatan mencederakan secara langsung.

Jelasnya, perbuatan seseorang individu yang bertujuan atau dengan niat untuk menguasai, memperlekeh atau menakut-nakutkan seseorang juga boleh disifatkan sebagai buli fizikal.

“Buli fizikal termasuk memukul, menumbuk, menyepak, mencengkam malah memusnahkan harta benda atau memaksa seseorang melakukan sesuatu tanpa kerelaan. Ia bukan lagi gurauan bila niatnya mencederakan.

“Perbezaan utama antara gurauan dan buli terletak pada niat serta kesannya terhadap mangsa. Gurauan sepatutnya menggembirakan kedua-dua pihak. Tapi bila ada yang rasa takut, malu, atau trauma, itu bukan lagi gurauan tapi sudah menjadi jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual semasa sesi Influencer@JAPEN, di sini pada Khamis.

Lebih membimbangkan, katanya kes buli di sekolah kini semakin kerap berlaku dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa serta masyarakat.

“Kebanyakan kes melibatkan pelajar sekolah menengah dan berpunca daripada sikap suka mengejek atau memperlekeh rakan sendiri. Antara sebab pelajar dibuli ialah rupa paras atau bentuk badan mereka. Ini menunjukkan kita sedang berdepan krisis empati dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Tegas Roziah, isu buli boleh ditangani dengan berkesan menerusi tindakan undang-undang di bawah Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 atau kerjasama bersama komuniti serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Mulai 11 Julai lepas, Seksyen 507B hingga 507G memperuntukkan hukuman bagi kesalahan buli fizikal, emosi dan juga buli siber atau doxing. Pindaan undang-undang itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan isu buli tidak lagi dipandang ringan.

“Sekolah perlu jadi zon selamat. Ibu bapa mesti tanam nilai empati dan pelajar sendiri perlu berani bersuara. Kalau nampak kawan dibuli, bantu lapor dan bukan rakam untuk tular, kita semua bertanggungjawab hentikan budaya buli. Jangan tunggu ada mangsa lagi sebelum kita bertindak,” katanya.

-RJ-

 

Tinggalkan komen anda