
Laporan/foto: Sunday Grace/ Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 27 Okt (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Tahun 2025 Peringkat Negeri Sabah memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kesejahteraan minda berteraskan tema “Akses Kepada Perkhidmatan: Kesihatan Mental dalam Bencana dan Kecemasan”.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. William Gotulis berkata, tema tersebut sangat bertepatan dengan realiti masa kini apabila tekanan hidup semakin meningkat akibat faktor pekerjaan, kekangan ekonomi, isu kekeluargaan serta bencana yang tidak dijangka.
“Berdasarkan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi tahun 2023, kira-kira sejuta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan, iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2019.
“Lebih membimbangkan, hampir separuh daripada mereka pernah terlintas untuk mencederakan diri,” katanya ketika ditemui semasa Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 Peringkat Negeri Sabah di sini, pada Sabtu.

Dr. William Gotulis bergambar bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Befrienders.
Beliau turut menekankan keperluan memberi perhatian terhadap kesihatan mental kanak-kanak, apabila statistik menunjukkan seorang daripada enam kanak-kanak di Malaysia mengalami gangguan kesihatan mental yang melibatkan masalah rakan sebaya, tingkah laku dan pengurusan emosi.
Menurutnya, sambutan ini diadakan bagi mempertingkat kesedaran awam tentang pentingnya penjagaan kesihatan mental, di samping mendorong gaya hidup seimbang dan memperkukuh semangat perpaduan melalui pelbagai aktiviti fizikal serta kebudayaan.
“Saya rasa bangga atas penglibatan pelbagai pihak dalam menjayakan program ini, termasuk institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti tempatan dan golongan belia, yang mencerminkan peningkatan kesedaran dan penerimaan masyarakat terhadap isu kesihatan mental.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah terus komited memperkukuh sistem sokongan kesihatan mental di semua peringkat dengan menambah bilangan pegawai psikologi dan kaunselor, memperluas perkhidmatan di klinik serta menggerakkan Pasukan Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) semasa berlakunya bencana dan kecemasan.
“Namun, usaha ini tidak akan berhasil tanpa sokongan masyarakat. Setiap individu harus memainkan peranan dengan mendengar dan memberi ruang kepada mereka yang sedang bergelut, tanpa sebarang penghakiman,” ujarnya.
Untuk makluman, sambutan ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium penyebaran maklumat dan kesedaran tentang kesihatan mental, malah menjadi wadah mempererat hubungan masyarakat dalam suasana yang harmoni dan positif.
-RJ-





