
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 27 Okt (MalaysiaAktif) – Karnival Jualan Agro MADANI @Pasar Tani Kekal Pekan yang dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pahang berjaya menarik perhatian penduduk daerah ini.

Ahli Parlimen Pekan Datuk Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali membuat lelongan barangan basah kepada pengunjung yang hadir.
Salah seorang pengunjung, Noraini Mat Jusoh, 42, melahirkan rasa gembira dengan penganjuran program yang disifatkannya membantu keluarga berpendapatan sederhana.
“Harga barang yang dijual di karnival ini jauh lebih murah, jadi kami dapat berjimat dengan membeli barangan keperluan,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
Noraini turut berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dengan lebih kerap, terutama menjelang musim cuti persekolahan atau perayaan.
Karnival jualan yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 Oktober lalu julung-julung kali diadakan berjaya menawarkan pelbagai barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, ayam segar, telur, sayuran serta produk tempatan dengan potongan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran biasa.
-RI





