Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Tuisyen Pintar YPM@KKDW 2025 Bantu 100 Pelajar SPM Capai Kejayaan

By 27 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)

PENGKALAN HULU, 27 Okt (MalaysiaAktif) – Seramai 100 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah ini telah mendapat manfaat daripada program Tuisyen Pintar YPM@KKDW 2025, anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi meningkatkan pencapaian akademik mereka dalam subjek-subjek teras.

Program percuma itu memberi tumpuan kepada pelajar SPM daripada golongan kurang berkemampuan dari tiga sekolah terpilih iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Hulu, SMK Tun Saban dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Yusufiah.

Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Farmasi dan Sains Kesihatan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of Medicine Perak (RCMP), Prof. Madya Dr. Wan Hafizah Wan Jusof ketika berucap merasmikan majlis penutup Tuisyen Pintar YDM@KKDW 2025, kelmarin.

Menurut Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Farmasi dan Sains Kesihatan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of Medicine Perak (RCMP), Prof. Madya Dr. Wan Hafizah Wan Jusof program berkenaan bertujuan menyediakan bimbingan dalam subjek-subjek teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

“MARA berharap dengan adanya program ini, murid terlibat dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka, sekali gus mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup program Tuisyen Pintar YPM@KKDW 2025 yang diadakan di Dewan Al Fateh, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pengkalan Hulu, di sini kelmarin.

Wan Hafizah turut menekankan bahawa inisiatif tersebut bukan sahaja menyediakan pendidikan tambahan tetapi juga berperanan mengurangkan jurang pendidikan antara golongan berkemampuan dan kurang berkemampuan.

“Kami mahu memastikan bahawa setiap murid mendapat peluang yang adil untuk berjaya,” katanya.

Penyampaian cek cura bernilai RM37,000 kepada YPM dari UniKL RCMP kepada YPM.

Program sejak Mei hingga September 2025 itu memberi penekanan kepada teknik menjawab soalan yang berkesan serta strategi pembelajaran yang fokus, bagi membantu pelajar memahami pendekatan terbaik menghadapi peperiksaan.

UniKL RCMP turut menyampaikan replika cek bernilai RM37,000 kepada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) bagi menampung perbelanjaan sepanjang penganjuran program tuisyen tersebut.

MARA dalam pada itu mengumumkan bahawa program Tuisyen Pintar YPM@KKDW akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

-RI

Tinggalkan komen anda