
Laporan/foto: Memi Yusoff/Mohd Ariff Ishak (Selangor)
SHAH ALAM, 3 Okt (MalaysiaAktif) — Perancangan kerajaan negeri Selangor untuk memperkenalkan projek TEDUH atau Tempat Elok untuk Hentian khusus buat penunggang p-hailing menerima sambutan baik daripada kumpulan pekerja gig itu.
Inisatif itu bakal menyediakan lokasi strategik bagi penunggang untuk berehat sama ada ketika menunggu pesanan atau selepas selesai penghantaran, sekali gus memenuhi keperluan sekian lama golongan tersebut.

Muhammad Rasani Abdul Ghani, 32, berkata, inisiatif TEDUH bukan sahaja memberi keselesaan kepada mereka, malah turut melambangkan penghargaan kerajaan negeri terhadap golongan tersebut.
Muhammad Rasani Abdul Ghani, 32, berkata, inisiatif TEDUH bukan sahaja memberi keselesaan kepada mereka, malah turut melambangkan penghargaan kerajaan negeri terhadap golongan tersebut.
“Selama ini kami terpaksa berhenti di stesen minyak atau tepi jalan untuk rehat sekejap, dan kini dengan bakal adanya tempat yang selamat dan lengkap dengan kemudahan asas seperti pengecas dan air, ia sangat membantu. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana ambil berat kebajikan kami,” katanya kepada Malaysia Aktif, hari ini.
Berkongsi pandangan sama, Mohd Fuad Berhan, 37, berkata inisiatif itu sangat penting dalam mengurangkan risiko bekerja dalam keadaan keletihan kerana sebelum ini mereka sering terpaksa berteduh hingga 30 minit di kawasan berisiko seperti di tepi jalan atau tempat gelap, namun dengan adanya ruangan seperti TEDUH, mereka tidak lagi perlu bimbang tentang keselamatan.

Muhammad Shafik Ismani, 30, pula menekankan kepentingan aspek keselamatan terutama bagi mereka yang bekerja hingga larut malam dan TEDUH baginya berupaya memenuhi keperluan penunggang p-hailing.
Sementara itu, Muhammad Shafik Ismani, 30, pula menekankan kepentingan aspek keselamatan terutama bagi mereka yang bekerja hingga larut malam dan TEDUH baginya berupaya memenuhi keperluan tersebut.
“Saya selalu buat penghantaran sampai lewat malam, kadang-kadang rasa tak selamat nak berhenti sembarangan. Kalau ada tempat khas seperti TEDUH, saya boleh berehat dengan lebih tenang dan rasa dilindungi,” ujarnya.
Terdahulu, Exco Pembudayaan Inovasi negeri Dr Muhammad Fahmi Ngah memaklumkan kerajaan negeri Selangor bakal melancarkan Projek TEDUH sebagai kawasan rehat selamat untuk penunggang p-hailing.
Pada fasa pertama, projek berkenaan bakal dilaksanakan membabitkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai usaha menjaga keselamatan serta kesejahteraan komuniti terbabit.
Katanya, kemudahan yang disediakan termasuk pengecas telefon bimbit, bangku untuk berehat dan tidur, kipas, bekalan air dan elektrik serta kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan mereka.
-FN





