
Laporan/foto: Wan Shahilawati Wan Baharuddin
KOTA BHARU, 9 Okt (MalaysiaAktif) – Pelbagai lapisan masyarakat menyuarakan harapan agar pembentangan Belanjawan 2026 dengan tema ‘Memacu Ekonomi MADANI, Memperkasa Rakyat’ oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mampu menstabilkan ekonomi negara dan meringankan beban rakyat.
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Besar Siti Khadijah, Ahmad Nazri Che Omar berkata para peniaga menaruh keyakinan terhadap usaha kerajaan memperkukuh sokongan kepada sektor perusahaan kecil tempatan.
“Alhamdulillah, kami berterima kasih atas peruntukan RM5.5 juta untuk menaik taraf Pasar Siti Khadijah sebelum ini, menjadikan suasana perniagaan lebih selesa dan menarik,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.
Beliau juga berharap kerajaan dapat memperkenalkan insentif tambahan seperti skim pinjaman mikro bersubsidi atau modal pusingan dengan kadar faedah rendah bagi membantu peniaga bersaing dengan pasar raya besar dan platform dalam talian.
“Bantuan ini penting untuk menambah stok, memperbaiki perkhidmatan serta mempromosikan produk tempatan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya dana tambahan diperuntukkan untuk mempromosikan pelancongan domestik, khususnya destinasi ikonik seperti Pasar Siti Khadijah yang menjadi simbol budaya dan tarikan utama pelancong.
“Bila pelancong ramai, ekonomi kami pun akan meningkat,” katanya penuh harapan.
Sementara itu, penjawat awam, Mohd Zamzuri Salleh, 55, turut menantikan berita baik daripada pembentangan Belanjawan kali ini.
“Harapan kami agar kerajaan mempertimbangkan pemberian Bonus Khas sekurang-kurangnya satu bulan gaji sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat penjawat awam,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar tumpuan diberikan kepada latihan peningkatan kemahiran dalam teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperkukuh kecekapan perkhidmatan awam seiring dengan agenda pendigitalan negara.
Sama ada harapan rakyat seperti Ahmad Nazri dan Mohd Zamzuri ini akan menjadi kenyataan, segalanya bakal terjawab pada petang 10 Oktober 2025 nanti.
-RI





