Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

SBST 1.5 Tawar Masa Menunggu Lebih Singkat, Perjalanan Lebih Selesa

By 23 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Fazli Salleh (Johor)

JOHOR BAHRU, 23 Okt (MalaysiaAktif) – Rakyat Johor Bahru kini menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih efisien dan selesa menerusi pelaksanaan perkhidmatan bas di bawah kontrak Stage Bus Service Transformation (SBST) 1.5 bermula 1 Oktober lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pelaksanaan SBST 1.5 yang diluluskan Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan RM134.9 juta bagi tempoh dua tahun (31 Mac 2025 hingga 30 Mac 2027) merupakan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam di Johor.

Mohamad Fazli, berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri menjadikan Johor negeri maju dan sejahtera melalui sistem pengangkutan awam yang mesra pengguna dan mampan.

“Kita akan menambah sebanyak 34 buah bas baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 162 buah bas beroperasi di bawah SBST.

“Jumlah laluan juga akan meningkat daripada 18 kepada 21 laluan, manakala bilangan trip harian ke dan dari Johor Bahru Sentral (JBS) akan melonjak hampir sekali ganda, daripada 408 kepada 674 trip sehari,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau menjelaskan peningkatan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 43,000 penumpang sehari sekali gus mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di kawasan bandar.

“Ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi usaha memastikan rakyat Johor menikmati perjalanan yang lebih cepat, mudah dan selesa setiap hari demi meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

Mohamad Fazli menambah inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebagai negeri maju dan sejahtera dengan menumpukan kepada pembangunan sistem pengangkutan awam yang mesra pengguna dan mampan.

“Kemudahan ini bukan sekadar menambah bilangan bas, tetapi turut meningkatkan kualiti hidup rakyat Johor. Saya menyeru orang ramai agar memanfaatkan kemudahan baharu ini demi keselesaan bersama,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda