
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)
CHANGLUN, 23 Okt (MalaysiaAktif) – Terletak di puncak bukit yang dikelilingi hamparan hijau ladang nanas MD2, MD2 Botanic Café & Resort memukau pengunjung dengan gabungan seni bina moden dan keindahan alam tropika, menjadikannya destinasi santai baharu yang unik di Changlun.

Botanic Cafe dan Resort di Puncak Ladang Nanas MD2.
Menariknya, kafe ini dibangunkan oleh pemiliknya sendiri, Uzir Abd Majid, 65, yang juga seorang arkitek.
Pengalaman beliau dalam bidang seni bina diterjemahkan ke dalam setiap sudut reka bentuk kafe ini, daripada struktur bangunan terbuka yang menonjolkan pencahayaan semula jadi sehinggalah susun atur ruang yang menyatu indah dengan landskap ladang di sekitarnya.
Menurut Uzir matlamat utama pembinaan kafe ini adalah untuk menyediakan ruang santai yang memberi ketenangan kepada pengunjung sambil menikmati keindahan alam.
“Sebagai seorang arkitek, saya mahu setiap pengunjung merasai keseimbangan antara fungsi, keindahan dan suasana. MD2 Botanic direka agar mereka dapat menikmati hidangan sambil dikelilingi panorama hijau yang menyegarkan,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.

Suasana di MD2 Cafe.
Selain keunikan reka bentuknya, MD2 Botanic Café & Resort turut menawarkan pelbagai hidangan berasaskan nanas seperti nasi asam pedas udang nanas, nasi goreng nanas MD2, ayam penyet, laksa, bihun sup dan rojak, disertai minuman tropika yang menyegarkan.
Gabungan cita rasa kampung, udara segar bukit serta seni bina yang harmoni menjadikan MD2 Botanic bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi satu pengalaman ruang dan rasa yang menenangkan jiwa.
Kini, MD2 Botanic Café & Resort terus menjadi antara destinasi pilihan pelancong tempatan dan penggemar seni bina semula jadi yang berkunjung ke Changlun.
-RI





