Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Sasar Lebih Ramai Golongan Miskin Tegar Daftar eKasih

By 7 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Memi Yusoff/Mohd Ariff Ishak (Selangor)

SHAH ALAM, 7 Okt (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor menggiatkan kempen pendaftaran bantuan eKasih bermula hari ini susulan masih ramai golongan miskin tegar belum mendaftar, khususnya di kawasan luar bandar.

Papparaidu semasa merasmikan Majlis Kick-Off Program Sejahtera Komuniti MADANI dan Pendaftaran Terbuka eKasih 2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam

EXCO Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu, memaklumkan setakat 19 Ogos lepas, hanya 753 Ketua Isi Rumah (KIR) berdaftar dalam sistem berkenaan yang mana menurutnya jauh lebih rendah berbanding 14,931 isi rumah yang dikenal pasti berstatus miskin di seluruh negeri.

“Kita sasarkan peningkatan ketara menjelang hujung tahun, saya yakin akan ada pertambahan antara 10 hingga 20 peratus pendaftaran baharu, terutamanya di luar bandar yang kurang akses maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Kick-Off Program Sejahtera Komuniti MADANI dan Pendaftaran Terbuka eKasih 2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam, di sini hari ini.

Menurut Papparaidu, kebanyakan penduduk miskin bandar sudah mempunyai akses kepada saluran bantuan yang tersedia, namun cabaran utama kini tertumpu kepada isi rumah di kampung yang masih terpinggir daripada sistem sokongan.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru lebih banyak komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memohon geran Program Sejati MADANI, yang masih berbaki RM11 juta untuk dimanfaatkan tahun ini.

sebahagian peserta yang hadir Majlis Kick-Off Program Sejahtera Komuniti MADANI dan Pendaftaran Terbuka eKasih 2025

Setakat ini, sebanyak 257 permohonan bernilai RM20.7 juta telah diluluskan di Selangor, dengan majoritinya menjayakan projek berasaskan pertanian seperti penanaman melon dan penternakan ikan, yang terbukti mampu menjana pendapatan dan meningkatkan daya tahan ekonomi komuniti.

“Saya sangat gembira apabila komuniti mengambil inisiatif seperti ini, ia bukan sahaja menjana pendapatan malah menyuntik semangat untuk terus berusaha keluar dari kemiskinan,” ujarnya.

Program Sejahtera Komuniti MADANI yang diperkenalkan melalui Belanjawan 2024 merupakan gerakan nasional yang mengangkat komuniti sebagai pemilik dan pelaksana perubahan di peringkat tempatan.

Melalui pendekatan tersebut komuniti menjadi pemacu utama pembangunan di kawasan masing-masing, manakala kerajaan berperanan sebagai rakan strategik dalam menyokong inisiatif rakyat.

-AA-

Tinggalkan komen anda