
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
ISKANDAR PUTERI, 7 Okt (MalaysiaAktif) – Seramai 489 individu melibatkan 246 keluarga Orang Asli dan 243 warga emas menerima Bantuan Kasih Johor One-Off 2025 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, hari ini.

Antara penerima Bantuan Kasih Johor One-Off 2025 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berkata penyerahan itu merupakan siri pertama daripada tiga hari pelaksanaan bantuan tersebut yang turut akan melibatkan golongan nelayan, petani, pemandu teksi dan e-hailing.
“Bantuan ini amat bermakna kepada rakyat dan saya lihat ramai penerima melahirkan rasa syukur serta terima kasih kepada Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) dan kerajaan negeri atas keprihatinan yang ditunjukkan.
”Saya ucapkan terima kasih atas kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Johor Bahru, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta kepimpinan masyarakat setempat,“ katanya ketika ditemui di Dewan Raya Gelang Patah, di sini hari ini.
Tambah Pandak, setiap penerima Bantuan Kasih Johor One-Off 2025 menerima bantuan tunai RM200, manakala keluarga Orang Asli turut menerima bakul makanan.

Salah seorang penerima Bantuan Kasih Johor, Tiwang Tawang, nelayan dari Kampung Simpang Arang
Seorang penerima, Tiwang Tawang, 76, nelayan dari Kampung Simpang Arang, berkata bantuan tersebut akan digunakan untuk membeli jaring bagi keperluan menangkap ikan.
“Jaring ini penting untuk kami mencari rezeki harian, jadi saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dan Datuk Pandak Ahmad atas bantuan ini,” katanya.
Program Bantuan Kasih Johor One-Off 2025 merupakan antara 42 inisiatif tambahan kerajaan negeri Johor dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM209 juta bagi tahun ini.
Daripada jumlah itu, 25 inisiatif disasarkan khusus untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat melibatkan golongan petani, penternak, nelayan, ibu tunggal dan warga emas.
-AA-





