
Laporan/ foto: Sumardi Sugiman/Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 17 Okt (MalaysiaAktif) – Seminar Kepimpinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Bau berperanan penting dalam memperkukuh keupayaan kepimpinan dan tanggungjawab pemimpin di peringkat akar umbi agar lebih berkesan dalam menyampaikan dasar serta aspirasi kerajaan kepada rakyat.
Program anjuran Pejabat Daerah Bau itu berlangsung di Dewan Suarah Bau, semalam, dan disertai seramai 140 peserta terdiri daripada ketua masyarakat serta ketua kaum sekitar daerah berkenaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Datuk Henry Harry Jinep menekankan peranan KMKK untuk memastikan dasar dan pelan tindakan kerajaan memberi manfaat kepada masyarakat.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Datuk Henry Harry Jinep yang merasmikan seminar tersebut berkata penganjuran program berkenaan amat penting kerana ia memberi ruang kepada KMKK untuk memperkukuh ilmu, kefahaman dan kesedaran terhadap peranan mereka sebagai pemimpin komuniti di peringkat akar umbi.
“Seminar ini menjadi platform penting KMKK berkongsi pandangan dan isu sebenar yang dihadapi komuniti masing-masing, sekali gus membantu kerajaan merancang tindakan dan penyelesaian lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau yakin melalui sesi ceramah dan perbincangan yang dijalankan, peserta memperoleh pelbagai input berguna berkaitan tanggungjawab, peranan serta cabaran kepimpinan dalam konteks semasa.
Datuk Henry turut menegaskan bahawa peranan KMKK amat penting untuk memastikan dasar dan pelan tindakan kerajaan mencapai objektif serta memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya di peringkat kampung.
Menyentuh mengenai Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang akan menumpukan kepada pembangunan lebih inklusif dan mampan, beliau menyeru agar KMKK Daerah Bau sentiasa bersiap sedia dan seiring dengan pelaksanaannya.

Eddy menyarankan KMKK Bau menjadikan seminar itu sebagai titik permulaan memperkukuh kerjasama, komunikasi dan semangat kepimpinan.
“KMKK di Bau perlu terus menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat serta ejen perubahan yang mampu menggerakkan pembangunan komuniti secara menyeluruh,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi menyarankan KMKK menjadikan seminar itu sebagai titik permulaan untuk memperkukuh kerjasama, meningkatkan komunikasi dan memantapkan semangat kepimpinan dalam kalangan mereka.
Turut hadir, Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching, Atok Derap, serta ketua-ketua jabatan daripada pelbagai agensi di daerah berkenaan.
-RJ





