Skip to main content
Berita TempatanSarawak

UP-DLP Perkukuh Penguasaan Dwibahasa Murid

By 17 Oktober 2025Oktober 18th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Iswandy Kassim/ Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) (Sarawak)

SRI AMAN, 16 Okt (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP) diyakini mampu memperkukuh keupayaan murid menguasai dua bahasa serta meningkatkan kualiti pembelajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata program itu merupakan antara inisiatif penting kerajaan negeri dalam memperkasakan penguasaan dwibahasa dalam kalangan pelajar, khususnya di sekolah rendah.

“UP-DLP bertujuan menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris serta memastikan standardnya setaraf dengan antarabangsa.

“Penilaian ini menumpukan kepada keberkesanan pelaksanaan program secara keseluruhan, bukan prestasi individu murid,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan pemantauan pelaksanaan UP-DLP Tahun 6 di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang, Undop dan SK Saint Lawrence (M) Sabu, di sini semalam.

Abdul Rahman Haji Muhiyuddin (kiri) dan Irwan Sharkawi (tengah) menerangkan sesuatu kepada Datuk Francis Harden .

Beliau berkata pemantauan berterusan penting bagi memastikan pelaksanaan UP-DLP berjalan lancar, teratur dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kementerian.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa sokongan padu daripada guru dan pentadbir sekolah akan memastikan program itu terus memberi manfaat kepada murid.

Di SK Batu Lintang, seramai 12 murid menduduki ujian berkenaan, manakala 43 murid di SK Saint Lawrence (M) Sabu.

Ujian Penilaian UP-DLP diadakan selama dua hari, 15 dan 16 Oktober 2025, melibatkan tiga mata pelajaran utama iaitu Bahasa Inggeris (UPS603) dan Matematik (UPS602) pada 15 Oktober, serta Sains (UPS601) pada 16 Oktober.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin menyifatkan pelaksanaan ujian tersebut sebagai detik bersejarah bagi pelajar Tahun 6 di Sarawak kerana mereka merupakan satu-satunya kumpulan di Malaysia yang menduduki Ujian Penilaian DLP Tahun 6 selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak melalui MEITD untuk memastikan murid terus dinilai dan diperkasa melalui sistem pendidikan yang relevan, meskipun selepas UPSR dimansuhkan,” katanya.

-RJ

Tinggalkan komen anda