
Laporan/foto: Memi Yusoff/Mohd Ariff Ishak (Selangor)
SHAH ALAM, 15 Okt (MalaysiaAktif) – Shah Alam Urban Forum (SAUF) 2025 menjadi platform utama dalam merangka pelan pembangunan jangka panjang bandar raya Shah Alam bagi tempoh 25 hingga 30 tahun akan datang.
Forum julung kali anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu menghimpunkan pelbagai pihak daripada sektor pembangunan, komuniti, ekonomi dan teknologi bagi membincangkan hala tuju masa depan bandar raya secara menyeluruh.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meninjau reruai di SAUF.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata SAUF merupakan wadah strategik untuk melibatkan komuniti secara langsung dalam pembentukan dasar dan pelan pembangunan bandar.
“Program ini menyentuh masa depan bandar dan peranan komuniti dalam merangka hala tuju pembangunan agar Shah Alam terus kekal sebagai bandar raya mampan dan berdaya tahan,” katanya ketika merasmikan SAUF 2025 di Pusat Konvensyen MBSA, semalam.
Beliau menegaskan bahawa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjadi teras utama visi MBSA untuk membina bandar rendah karbon, selaras dengan aspirasi global yang digariskan melalui World Urban Forum.
“Antara fokus utama termasuk mewujudkan masyarakat sifar karbon, memelihara keharmonian serta memperkasa penyertaan rakyat dalam pembangunan bandar,” jelasnya.
Bertemakan “Bandar Kita, Komuniti Kita”, SAUF 2025 berlangsung selama dua hari bermula 14 hingga 15 Oktober, dengan penyertaan lebih 2,000 peserta daripada pelbagai latar belakang.
Forum ini menampilkan pengisian seperti Sesi Dialog Pandangan Tempatan yang membincangkan isu pembangunan mampan, kualiti hidup komuniti serta pemerkasaan masyarakat melalui pendekatan digital dan inovasi.
Selain itu, sesi Strategi Bandar turut diadakan bagi memperkukuh kolaborasi antara kerajaan tempatan, sektor swasta dan masyarakat dalam menjayakan visi Shah Alam sebagai bandar hijau, pintar dan inklusif menjelang 2050.
Penganjuran SAUF 2025 mencerminkan komitmen berterusan MBSA dalam membina masa depan Shah Alam yang lestari dan berdaya tahan, demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
-FN





