
Laporan/ foto: Muhamad Haizir (Langkawi)
LANGKAWI, 21 Okt (MalaysiaAktif) – Pasukan Sixteen muncul juara Pertandingan Sepak Raga Tuju Langkawi Cup 2025 (SRTLC 2025) yang berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), di sini, selepas menewaskan pasukan Kejiwa 07 dalam perlawanan akhir yang penuh sengit.

Pengurus Bahagian Pelancongan LADA, Dr. Azmil Munif Mohd Bukhari, turut hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan
Dalam aksi final, kedua-dua pasukan menunjukkan persembahan bertenaga dan penuh semangat kesukanan sebelum Sixteen dinobatkan sebagai juara SRTLC 2025 bagi membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 manakala Kejiwa 07 selaku naib juara menerima RM3,000.
Pertandingan anjuran LADA dengan kerjasama Kelab Sepak Raga Buluh Kuning itu berjaya menarik penyertaan 80 pasukan dari seluruh Langkawi dan luar kawasan, sekali gus membuktikan populariti sukan tradisional tersebut masih kukuh dalam kalangan masyarakat.
Selain acara utama berpasukan, turut diadakan acara individu seperti timbang raga, timbang raga berpasukan dan tuju gelung yang menambah kemeriahan serta memberi peluang kepada peserta mempamerkan kemahiran masing-masing.

Perlawanan akhir di antara pasukan Kejiwa 07 dan pasukan Sixteen
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengurus Bahagian Pelancongan LADA Dr. Azmil Munif Mohd Bukhari.
“Pertandingan seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam sukan sepak raga, tetapi juga menggalakkan penglibatan generasi muda dalam aktiviti sihat serta memperkukuh semangat perpaduan dalam komuniti,” katanya.
Penganjuran SRTLC 2025 bukan sekadar medan pertandingan, tetapi turut menjadi platform memartabatkan sukan tradisional di peringkat tempatan serta memperat hubungan antara komuniti setempat, selaras dengan hasrat LADA memupuk gaya hidup sihat dan masyarakat yang bersatu padu.
-AA-





