
Laporan/foto: Khairul Othman (IPN NS)
JEMPOL, 25 Okt (MalaysiaAktif) – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mencemar duli berangkat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Qaryah Air Hitam, di sini semalam.

Dif-dif kehormat dan Ahli Jawatankuasa Masjid Kariah Air Hitam bergambar bersama DYMM Tuanku Muhriz.
Keberangkatan tiba baginda disambut Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sungai Lui Datuk Mohd Razi Mohd Ali serta Pegawai Daerah Jempol Aminos Agos Suyub.
Seorang jemaah, Amir Musa, 49, ketika ditemui melahirkan rasa terharu dengan keberangkatan Tuanku Muhriz ke masjid tersebut.

Jemaah khusyuk mendengar khutbah.
“Kami amat berbesar hati dan berasa bangga kerana Tuanku Muhriz sendiri berkenan mencemar duli menunaikan solat bersama rakyat di kampung ini. Ia satu penghormatan yang tidak ternilai buat kami penduduk Kampung Air Hitam,” katanya.
Usai solat Jumaat, Tuanku Muhriz berkenan berangkat ke santapan bersama rakyat di perkarangan masjid.
Majlis santapan berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni, menzahirkan keakraban Tuanku Muhriz bersama rakyat serta keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.
-RI





