Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

UiTM Peka Masa Depan Hijau

By 5 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Negeri Sembilan)

KUALA PILAH, 5 Okt (MalaysiaAktif) – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sentiasa peka terhadap aspek kesedaran dan tanggungjawab dalam memastikan masa depan yang lebih lestari serta mesra alam.

Ucapan oleh Prof. Madya Ts. Dr Noorlis Ahmad.

Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik) yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Prof. Madya Ts. Dr. Noorlis Ahmad, berkata program Shade the Future: Plant Hope, Grow the Future anjuran universiti itu mencerminkan komitmen UiTM dalam membentuk jati diri mahasiswa yang seimbang antara pelajaran dan kepekaan terhadap tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar.

“Pihak pengurusan UiTM menghargai kerjasama dan sokongan padu agensi yang terlibat, khususnya Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) yang menyumbangkan pokok untuk ditanam di sekitar kampus bagi mewujudkan suasana yang damai, selesa dan bersih menjelang permulaan sesi kuliah minggu hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program berkenaan di UiTM Kampus Kuala Pilah, kelmarin.

Prof. Madya Ts. Dr. Noorlis dan Mohd Rizal bersama pelajar UiTM Kampus Kuala Pilah.

Program serentak di Kampus Kuala Pilah, Seremban dan Rembau itu menjadikannya suatu inisiatif di peringkat negeri yang menyatukan seluruh warga UiTM dalam satu aspirasi hijau bersama.

Di kampus Kuala Pilah, sebanyak 250 anak pokok ditanam oleh pelajar kursus Mikrobiologi dengan bimbingan JPNS yang turut memberikan pendedahan praktikal kepada mahasiswa tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pembangunan Hutan JPNS Mohd Rizal Sabran dan Penolong Pengarah (Silvikultur dan Perlindungan Hutan) Noor Syuhada Abdul Samad.

-RI

Tinggalkan komen anda