
Laporan/Foto: Mohamad Radhmad Bin Rayee (Sarawak)
KOTA SAMARAHAN, 30 Nov (MalaysiaAktif) – Seramai 124 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Traoh diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqin, Samarahan, di sini dengan kehadiran ibu bapa, warga sekolah serta kariah masjid berdekatan.
Majlis tahunan anjuran pihak sekolah itu mendapat sokongan padu daripada pelajar, ibu bapa, kakitangan sekolah dan jawatankuasa kampung yang bersama-sama memastikan segala persiapan berjalan lancar.
Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Sarawak, Bahagian Samarahan, Wan Mazlan Wan Japar.
Wan Mazlan dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada pihak sekolah atas usaha berterusan menganjurkan program tersebut dengan jayanya.

Ucapan persamian oleh Timbalan Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Sarawak, Bahagian Samarahan, Ustaz Wan Mazlan Wan Japar.
Beliau turut menekankan kepentingan membaca dan mentadabbur Al-Quran dalam kehidupan seharian seperti yang dituntut Rasulullah SAW.
“Kita berharap anak-anak ini bukan sahaja lancar membaca, malah terus menjadi Al-Quran sebagai panduan hidup serta berusaha memahami maknanya agar kehidupan mereka sentiasa dipelihara daripada sebarang bentuk maksiat dan kemungkaran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan peranan guru dan ibu bapa amat penting dalam membentuk sahsiah serta akhlak yang baik dalam kalangan anak-anak bagi mempersiapkan mereka menghadapi cabaran mendatang.

Penyampaian Sijil kepada salah seorang peserta Majlis Khatam Al-Quran.
Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan, Aziah Samsudin, Guru Besar SK Dato Traoh, Sahat Yakup dan Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan, Ustaz Bahrin Kawi serta para jemputan lain.
-RJ-





