
Laporan/foto: Siti Zuraida MDNorAidi (Jempol)/Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jempol
JEMPOL, 17 Nov (MalaysiaAktif) – Seramai 156 pelajar dari 13 buah sekolah merangkumi lapan sekolah di Jempol dan lima sekolah di Kuala Pilah memperoleh lesen memandu motosikal.

Ucapan perasmian oleh Ahli Parlimen Jempol.
Program MyLesen Fasa 2 dilaksanakan bagi membantu golongan pelajar memperoleh lesen memandu motosikal Kelas B2 secara lebih tersusun, berpatutan dan selamat.
Ahli Parlimen Jempol merangkap Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Datuk Shamshulkahar Mohd Deli ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) Fasa 2 Tahun 2025 di Kafeteria Kompleks Belia dan Sukan Bandar Seri Jempol, semalam menasihatkan agar semua penerima lesen B2 memandu secara berhemah, berdisiplin dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.
“Para remaja janganlah memandu secara merbahaya, kerana tindakan sedemikian dibimbangi boleh mengancam nyawa sendiri dan orang lain,” katanya.

Majlis penyampaian sijil penghargaan dan penyertaan program MyLesen Fasa 2.
Program ini dijangka akan diteruskan pada fasa-fasa seterusnya bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar, khususnya di kawasan luar bandar, memperoleh lesen memandu yang sah dan diiktiraf, sekali gus menyokong keselamatan serta mobiliti mereka pada masa hadapan.
Turut hadir Ketua Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Cawangan Jempol Razali Amin Timbalan Pegawai Pendidikan Jempol/Jelebu Anuar Rahim dan Pegawai Pendidikan Daerah Jempol Kamanizam Tindek.
-RI





