
Laporan/foto: Hasnida Sharani/Sharil Alias (IPN)
SEREMBAN, 17 Nov (MalaysiAktif) – Program Mesra MADANI Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Kampung Orang Asli Belihoi menunjukkan komitmen kerajaan Negeri Sembilan terhadap usaha memperkasa komuniti luar bandar, khususnya masyarakat Orang Asli.

Ucapan perasmian oleh Jalaluddin.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pembangunan luar bandar bukan hanya tertumpu kepada projek fizikal, tetapi juga merangkumi tanggungjawab menyantuni masyarakat serta memahami denyut nadi kehidupan penduduk setempat.
Menurutnya komuniti Orang Asli berhak menikmati akses pendidikan, kesihatan, ekonomi dan infrastruktur yang adil serta berkualiti sama seperti masyarakat arus perdana.
“Keperluan saudara-saudara kita dalam komuniti Orang Asli adalah amanah yang mesti dipastikan sampai dengan tepat dan setimpal. Tiada sesiapa pun harus tercicir daripada arus pembangunan negeri,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, di sini kelmarin.

Penduduk kampung bersama dalam majlis bersama Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan komuniti Belihoi serta masyarakat Orang Asli di seluruh Negeri Sembilan terus menerima perhatian yang konsisten dan berterusan.
Program berkenaan turut menggabungkan pelbagai aktiviti bersama penduduk, membuka peluang kepada pihak kerajaan untuk menilai keperluan serta aspirasi pembangunan masyarakat Orang Asli secara lebih dekat.
Kerajaan negeri optimis bahawa usaha berterusan ini akan menyediakan peluang lebih baik serta menjamin masa depan generasi muda Orang Asli agar mampu berdiri teguh dan menikmati pembangunan yang lebih seimbang.
-RI





