
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan) / KEMAS
LABUAN, 20 Nov (MalaysiaAktif) – 89 peratus murid-murid Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mencapai kemahiran 3M (Membaca, Menulis, Mengira) bagi tahun 2024/2025 sebelum memasuki Tahun 1.
Menurut Pegawai KEMAS daerah Wilayah Persekutuan Labuan Gilbert Julian pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan pedagogi KEMAS dan profesionalisme para pendidik dalam menjayakan kurikulum awal kanak-kanak.

Gilbert semasa menyampaikan ucapan perasmian.
“93 peratus kanak-kanak Tabika KEMAS menguasai sekurang-kurangnya lima daripada enam tunjang utama perkembangan dengan Tunjang Bahasa, Kognitif dan Sosioemosi mencatat peningkatan tertinggi pada kadar 10 hingga 14 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Bagi perkembangan holistik kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) KEMAS menunjukkan peningkatan 12 peratus dalam perkembangan komunikasi dan motor halus serta pengurangan signifikan tingkah laku tantrum sebanyak 8 peratus selepas pelaksanaan modul rutin terarah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Hari Apresiasi dan Program Khatam Perdana Pra Tahfiz Tabika dan Taska KEMAS Parlimen Labuan Tahun 2025, di sini kelmarin.
Jelasnya, majlis tersebut turut meraikan program Khatam Perdana selaras dengan usaha KEMAS memperkukuh pendidikan kerohanian dan akhlak kanak-kanak.

Persembahan sayembara yang meyakinkan daripada salah seorang pelajar Tabika KEMAS.
“Program Pra Tahfiz KEMAS merangkumi hafazan surah-surah pendek Juz Amma, bacaan doa harian, latihan adab asas (makan, salam, kebersihan, hormat-menghormati) dan penekanan nilai ihsan, amanah dan akhlak seharian.
“Tahun ini hampir 200 kanak-kanak berjaya menamatkan hafazan minimum dan mencapai tahap bacaan yang melayakkan mereka menyertai Khatam Perdana,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 221 pelajar tabika dan taska KEMAS seluruh Labuan diraikan dan diberi penghargaan atas pencapaian masing-masing.
-RI





