Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

JANM Johor Perketat Pemantauan Penutupan Akaun 2025

By 26 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 26 Nov (MalaysiaAktif) – Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Johor menegaskan semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) perlu menyelesaikan Perbelanjaan Mengurus (OE) dan Perbelanjaan Pembangunan (DE) sebelum 15 Disember ini selaras arahan Kementerian Kewangan bagi memastikan kelancaran penutupan akaun akhir tahun.

Penyerahan Anugerah PTJ Cemerlang 2025, yang kali terakhir dianjurkan pada 2015, diadakan bagi mengiktiraf PTJ dengan tadbir urus dan pengurusan perakaunan terbaik.

Pengarahnya Rahmad Julkifli Mohd Ali berkata arahan tersebut menetapkan semua PTJ mesti memastikan bayaran lengkap sehingga peraku II (status 80) pada tarikh berkenaan dan memaklumkan bahawa tiada tempoh Akaun Kena Bayar (AKB) akan dibuka oleh JANM Johor.

“JANM Johor melalui Unit Pengurusan Dana akan terus memberikan peringatan berkala kepada PTJ untuk menyemak Laporan Pemantauan Status Pembayaran dalam sistem iGFMAS.

“PTJ juga perlu memberi perhatian terhadap Pesanan Kerajaan dan Arahan Pembayaran yang masih tertunggak serta memastikan ia diselesaikan dengan segera,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Auditorium JOTIC, di sini hari ini.

Rahmad turut menekankan kepentingan pengurusan kutipan hasil di semua pejabat pemungut di bawah seliaan PTJ masing-masing.

Seramai 159 orang terdiri dari Ketua Jabatan atau wakil agensi kerajaan hadir ke Taklimat Penutupan Akhir Tahun 2025 anjuran Jabatan Akauntan Negeri Johor di Auditorium JOTIC, hari ini.

“Semua PTJ dan Pejabat Pemungut perlu memastikan kutipan bagi bulan Disember 2025 dimasukkan ke dalam bank tanpa kelewatan, kecuali terimaan melalui e-Payment yang diterima pada 31 Disember 2025,” jelasnya.

Beliau berkata sesi taklimat kali ini turut disertakan penganugerahan PTJ cemerlang, yang diadakan semula selepas kali terakhir diperkenalkan pada 2015, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen PTJ dalam melaksanakan tadbir urus pengurusan perakaunan yang terbaik dan konsisten.

“JANM Johor berharap penganugerahan ini dapat menjadi pemangkin dan aspirasi kepada semua PTJ untuk terus meningkatkan prestasi dan kecemerlangan,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda