
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini Mohamad
KUALA TERENGGANU, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) masih relevan walaupun selepas 20 tahun pelaksanaannya, kata Timbalan Pengarah (Belia) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu Nurul Afifa Sofina Azmi.
Beliau berkata ia kerana konsep program berkenaan yang dinamik dan selari dengan matlamat digariskan dalam Dasar Belia Malaysia.
“Program ini telah mencatat penyertaan hampir lapan juta peserta di seluruh dunia, menggambarkan keberkesanannya dalam membina potensi generasi muda.
“Program ini, memberi ruang dan peluang pengantarabangsaan anak muda dibuka luas kerana pelaksanaannya melibatkan lebih 130 buah negara dengan piawaian antarabangsa yang menekankan empat komponen utama iaitu kemahiran, khidmat masyarakat, rekreasi fizikal dan penjelajahan lasak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pentauliahan ARPRM Tahap Perak dan Gangsa peringkat negeri Terengganu 2025 di Dewan Utama, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu, di sini semalam.
Program tahunan itu bertujuan meraikan kejayaan dan pencapaian para belia yang telah berjaya menamatkan pelbagai komponen pembangunan diri di bawah Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda, sekali gus melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berdaya tahan serta mempunyai jati diri yang tinggi.
Nurul Afifa berkata pelbagai program bertaraf antarabangsa dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) antaranya Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun atau SSEAYP (Say-yap), Program Pertukaran Belia Indonesia, Korea termasuk ARPRM.
Kualiti peserta yang dilahirkan diiktiraf di platform tertinggi melalui Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) di bawah kategori Emas Remaja Perdana, yang menjadi lambang kecemerlangan dan pencapaian tertinggi dalam kalangan belia negara.
-RI





