
Laporan/foto: Memi Yusoff/JAS Selangor (Selangor)
SHAH ALAM, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Mahkamah Sesyen, di sini semalam menjatuhkan hukuman denda RM140,000 ke atas sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti kitar semula sekerap plastik di Pelabuhan Klang selepas disabitkan bersalah atas enam pertuduhan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Wandi Yadzid Yaakob berkata Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar menetapkan hukuman itu selepas eksekutif akaun yang mewakili syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas semua pertuduhan.

Penemuan mesin extrusion yang terdapat di kilang bagi pemprosesan sekerap plastik.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan susulan aduan awam terhadap sebuah premis di Jalan Lengkungan Sultan Hishamuddin, Kawasan 20, Selat Klang Utara pada 15 November 2022, mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti kitar semula sekerap plastik melalui penemuan pelbagai jenis sekerap plastik dan dua unit mesin extrusion,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pemeriksaan juga katanya turut menemui buangan terjadual iaitu pelbagai jenis buangan elektrik dan elektronik serta bateri asid plumbum yang disimpan di premis berkenaan bagi tujuan kitar semula.
“Hasil semakan mendapati syarikat berkenaan sebelum ini telah memperoleh kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bertarikh 30 Oktober 2020 untuk aktiviti kitar semula sekerap plastik namun, syarikat terbabit didapati telah melangkaui kelulusan dengan turut mengambil buangan terjadual bagi proses kitar semula tanpa kebenaran JAS,” katanya.
OKS didakwa masing-masing dua pertuduhan mengikut Seksyen 34B(1)(a) yang membawa denda maksimum RM500,000 atau lima tahun penjara; Seksyen 18(1) yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya; dan Seksyen 41 dibaca bersama Seksyen 19(a) yang membawa denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang telah di sita oleh Jabatan Alam Sekitar negeri Selangor.
Pegawai Pendakwa JAS Selangor memohon agar hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada syarikat lain supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengabaikan kelestarian alam sekitar demi keuntungan.
Sharifah Hascindie kemudian menjatuhkan hukuman denda RM140,000 selepas mempertimbangkan kepentingan awam serta hujahan kedua-dua pihak.
Wandi dalam kenyataan sama mengingatkan semua pengusaha industri agar sentiasa patuh kepada peruntukan Akta 127 dan peraturan di bawahnya.
“Sebarang pelanggaran katanya boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil. JAS Selangor komited dalam memastikan pemantauan berterusan terhadap pematuhan undang-undang alam sekitar,” katanya.
Orang awam juga digalakkan menyalurkan aduan berkaitan aktiviti pencemaran melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel [email protected], atau portal e-Aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
-FN





