
Laporan/foto: M Zakry Chan/Facebook Ab Rauf Yusoh
MELAKA, 19 Nov (MalaysiaAktif) – Melaka bakal mempunyai kolej pertama di negara ini yang dinamakan sempena Laksamana Cheng Ho, hasil kolaborasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan Nanjing University of Industry Technology, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh semasa Cheng Ho International Conference 2025 (CHIC 2025), di sini semalam.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika berucap.
CHIC 2025 dianjurkan oleh kerajaan negeri melalui Institut Tun Perak (ITP) dengan kerjasama Cheng Ho Cultural Museum, Zheng He Research Association Beijing dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Menurut Ab Rauf, seminar itu bukan sahaja menonjolkan warisan maritim Melaka, tetapi juga memperkukuh penyelidikan akademik berkaitan Laksamana Cheng Ho di peringkat antarabangsa.
“Seminar ini juga mengangkat legasi hubungan sejarah Melaka China ke pentas antarabangsa, selain mempersembahkan dapatan terbaharu hasil penyelidikan para sarjana dan pengkaji yang pakar dalam kajian Cheng Ho, khususnya berkaitan peranan Melaka dalam pelayaran armada beliau ke Samudera Barat,” katanya.

Replika kapal Laksamana Cheng Ho.
Beliau berkata sebagai sebahagian daripada program itu, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM dan Nanjing University of Industry Technology membuka laluan kepada penubuhan Kolej Cheng Ho di Malaysia.
Selain itu, CHIC 2025 menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat (LoI) antara ITP dan Guangxi Minzu University serta Muzium Budaya Melaka bagi memperkasa penyelidikan berkaitan Cheng Ho di Melaka dan China.
“Melaka juga akan menganjurkan Festival Cheng Ho 2026 tahun depan, yang saya percaya akan memperkukuh diplomasi budaya, menonjolkan warisan maritim dan menyerlahkan peranan Melaka di pentas antarabangsa,” ujarnya.
-RI





