
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
SHAH ALAM, 19 Nov (MalaysiaAktif) – Wanita Berdaya Selangor (WBS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangunkan Sijil Profesional Kepimpinan Wanita.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata program itu bertujuan melahirkan pemimpin wanita berpengetahuan dan berwibawa seiring sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam pembuat keputusan.

Amirudin Shari (tengah), bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari (empat dari kiri), bersama enam penerima Biasiswa WBS di Wisma Dewan Negeri Selangor.
“MoU bersama UKM dimeterai sebagai komitmen untuk bekerjasama dalam pembangunan serta pelaksanaan Sijil Profesional Kepimpinan Wanita di bawah payung Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) sekali gus meningkatkan prestij program ini sebagai sebuah program yang diiktiraf,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani MoU antara WBS dan UKM serta penyampaian biasiswa WBS Kohort 4 di Wisma Dewan Negeri Selangor, di sini semalam.
Sementara itu, turut diadakan penyampaian Biasiswa Wanita Selangor Kohort 4 kepada enam penerima iaitu tiga penuntut peringkat Sarjana dan tiga lagi kepada Doktor Falsafah (PhD).
Amirudin berkata program tersebut memberi tumpuan kepada bidang seperti pengajian gender, kepimpinan wanita, ekonomi penjagaan, sains politik atau sains sosial dan pengajian pembangunan masyarakat sejajar dengan usaha memperkukuhkan kepimpinan wanita di Selangor secara menyeluruh.

Amirudin Shari (tiga dari kanan), bersama Anfaal Saari (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada kumpulan kerja lapangan terbaik AKW Kohort 4 di Wisma Dewan Negeri Selangor.
Pada majlis sama, turut diadakan pelancaran logo baharu AKW serta lima kumpulan terbaik kerja lapangan AKW Kohort 4 pula menerima pengiktirafan atas pencapaian cemerlang sepanjang pelaksanaan program di bawah bimbingan mentor yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin setempat.
Usaha-usaha ini sejajar dengan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 yang menekankan peningkatan status sosioekonomi serta penyertaan wanita dalam pembangunan negeri.
-RI





