
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 24 Nov (MalaysiaAktif) – Festival Agro Tourism yang berlangsung selama tiga hari dari 21 hingga 23 November di Relau berjaya menarik pelancong dari pelbagai negeri untuk menikmati gaya hidup kampung, mempelajari budaya setempat serta menerokai potensi agro pelancongan kawasan itu.

Naib Presiden Homestay Malaysia, Saiful Helmi Abd Razak sedang menyampaikan ucapan semasa majlis perasmian kelmarin.
Program ini sekali gus mengangkat Relau sebagai destinasi pelancongan domestik yang semakin mendapat perhatian.
Pengusaha FarmStay Relau, Saiful Helmi Abd. Razak, berkata festival ini selari dengan inisiatif Cuti-Cuti Malaysia yang bertujuan merancakkan ekonomi pelancongan tempatan.
“Festival ini menyatukan pelbagai pihak dalam industri pelancongan serta mempromosikan Bandar Baharu, khususnya Relau, sebagai destinasi agro pelancongan yang menarik,” katanya, di sini kelmarin.
Pelbagai aktiviti berasaskan gaya hidup kampung dianjurkan antaranya pertandingan gagau ikan dalam lumpur, aktiviti keluarga dan demonstrasi budaya setempat yang menarik penyertaan pengunjung dari luar daerah serta menceriakan suasana festival.

Pembuatan labu sayong dan lain-lain objek dari tanah liat menarik perhatian pelajar sekolah untuk mencuba seni tanah liat ini.
Pengunjung dari Kuala Lumpur Sulaiman Abu Bakar, 45, berkata beliau membawa anak-anak ke Relau untuk merasai pengalaman kampung yang jarang diperoleh di bandar.
“Anak-anak saya tidak pernah menangkap ikan keli dalam lumpur. Mereka belajar menghargai pengalaman sebenar masyarakat kampung sambil berseronok,” katanya.
Festival ini bukan sahaja memberikan pengalaman percutian unik kepada pengunjung, malah turut mengangkat produk komuniti setempat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi daerah.
Program ini dijangka mampu menjadikan Relau sebagai destinasi agro pelancongan berpotensi besar.
-RI





