Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Hospital Sri Aman Raih Pensijilan Penuh Akreditasi MSQH Edisi Ke-6

By 16 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto ; Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 16 Nov (MalaysiaAktif) – Hospital Sri Aman berjaya meraih Pensijilan Penuh Akreditasi MSQH (Malaysian Society for Quality in Health) Edisi ke-6, yang berkuat kuasa mulai 24 September 2025 hingga 23 September 2029.

Pensijilan ini merupakan pengiktirafan penting dalam sistem penjagaan kesihatan negara dan menjadi cerminan komitmen hospital terhadap kualiti, keselamatan serta pematuhan piawaian perkhidmatan bertaraf antarabangsa.

Hospital Sri Aman  simbol komitmen terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk komuniti.

MSQH bukan sekadar pensijilan, tetapi sebuah standard menyeluruh yang menilai budaya kerja profesional serta usaha fasiliti kesihatan meningkatkan keselamatan pesakit dan kualiti rawatan secara berterusan.

Akreditasi ini turut meliputi 39 bidang perkhidmatan termasuk Keselamatan Pesakit dan Kualiti, Tadbir Urus dan Kepimpinan, Pengurusan Risiko Klinikal, Perkhidmatan Klinikal serta Perkhidmatan Diagnostik dan Sokongan Klinikal.

Pengarahnya, Dr. Hazwani Mohd Yusop berkata kejayaan tersebut adalah hasil kerja keras semua warga hospital yang sentiasa komited dalam memastikan kecemerlangan perkhidmatan berada pada tahap tertinggi.

“Kejayaan ini adalah milik bersama seluruh warga Hospital Sri Aman, tahniah kerana menunjukkan komitmen luar biasa.

“Kami akan terus memperkukuh standard kualiti dan keselamatan bagi memastikan setiap pesakit menerima rawatan selamat dan terbaik,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin.

Pengarah Hospital Sri Aman Dr. Hazwani Mohd Yusop menerajui kecemerlangan dengan komitmen tinggi terhadap kualiti dan keselamatan pesakit.

Hospital turut menghargai dedikasi seluruh warga kerja dan kerjasama syarikat konsesi One Medicare yang telah memastikan proses penilaian berjalan lancar dan berjaya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir merangkap Ketua Unit Pengurusan Hospital Sri Aman, Susan Belayong berkata pihaknya amat bersyukur kerana pensijilan penuh ini berjaya diperoleh selepas memenuhi semua keperluan yang ditetapkan.

Komitmen tinggi Penolong Pegawai Tadbir Susan Belayong dalam pengurusan hospital menjadi antara faktor kejayaan Hospital Sri Aman meraih Pensijilan Penuh MSQH Edisi ke-6.

“Ini adalah hasil usaha bersama yang akhirnya membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Kami akan terus memperbaiki perkhidmatan dan mengekalkan standard MSQH demi memastikan pesakit menerima rawatan terbaik,” katanya.

Dengan slogan “Serve with HEARTS”, kejayaan ini mengukuhkan lagi keyakinan bahawa kualiti dan keselamatan adalah keutamaan hospital, sekaligus mencerminkan dedikasi pasukan kesihatan dalam menjaga kesejahteraan rakyat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda