Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Banjir: Ikan Sungai Jadi Sumber Rezeki Kampung Tersang

By 27 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad/Mohd Noor Mahmuddin Mohd Mahlil

RANTAU PANJANG, 27 Nov (MalaysiaAktif) – Musim banjir yang melanda sebahagian kawasan di Rantau Panjang saban tahun bukan sahaja mengubah rutin harian penduduk, malah membuka pintu rezeki baharu kepada komuniti Kampung Tersang, di sini yang memanfaatkan limpahan ikan sungai sebagai sumber pendapatan tambahan.

Ikan kepal juga menjadi tarikan utama pembeli, kerana rasanya yang lebih lemak dan teksturnya yang digemari peminat ikan sungai.

Menurut penduduk tempatan, fenomena banjir yang menyebabkan air Sungai Golok melimpah ke kawasan kampung turut membawa masuk pelbagai spesies ikan sungai seperti patin, lampam, baung dan tilapia.

Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk dengan menggunakan bubu, pukat dan jala bagi mendapatkan hasil tangkapan.

Seorang penduduk, Mohd Faizol Mohd Nor, 47, berkata musim banjir merupakan masa yang dinanti-nantikan kerana hasil tangkapan ikan meningkat berkali ganda berbanding hari biasa.

“Dalam sehari, saya boleh dapat lebih 10 hingga 20 kilogram (kg) ikan. Hasil jualan pula mencecah sehingga RM300 sehari, cukup untuk menampung keperluan keluarga sementara menunggu banjir surut,” katanya, di sini semalam.

Mohd Faizol menggunakan bubu gergasi buatan sendiri seberat 40 kilo menjadi senjata utama penduduk, cukup kukuh untuk dipasang di laluan arus banjir yang sarat dengan ikan bersaiz besar.

Mohd Faizol turut menggunakan bubu buatan sendiri seberat 40kg bagi menangkap ikan bersaiz besar di kawasan laluan ikan.

Seorang lagi penduduk, Mohd Hiruan Hirajiun, 44, berkata keadaan banjir turut membawa manfaat kepada komuniti apabila penduduk dapat menjual hasil tangkapan pada harga lebih rendah berbanding kawasan lain, iaitu RM25 sekilogram bagi ikan baung dan RM20 bagi lampam bersaiz besar.

Katanya walaupun banjir memberi cabaran dari aspek keselamatan dan pergerakan, namun penduduk tetap cekal dan kreatif menjadikannya sebagai peluang ekonomi sementara.

“Bagaimanapun, penduduk kampung sentiasa saling mengingatkan supaya kekal berhati-hati ketika menangkap ikan dan mengutamakan keselamatan terutama ketika arus deras,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda