Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

KPDN Johor Rekod Lebih 1,500 Kes Ketidakpatuhan Perniagaan

By 27 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook KPDN Johor (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 27 Nov (MalaysiaAktif) – Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merekodkan lebih 1,500 kes kesalahan ketidakpatuhan perniagaan di seluruh negeri ini sejak awal tahun hingga kini.

Lilis Saslinda, berkata Program Pasar Patuh (3P) diwujudkan bagi meningkatkan pematuhan peniaga pasar awam melalui penekanan kepada tiga aspek utama: penandaan harga jelas, penggunaan alat timbang yang sah dan tepat serta persekitaran perniagaan yang bersih dan teratur.

Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata sebanyak 1,671 kes dilaporkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 manakala 422 kes melibatkan pelanggaran Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

“Jumlah kompaun yang dikenakan kepada peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan adalah sebanyak RM676,250 melibatkan kedua-dua akta berkenaan bagi tempoh tersebut.

“Antara kesalahan yang direkodkan adalah gagal mempamerkan tanda harga dan penggunaan alat penimbang yang tidak mendapat kelulusan serta telah tamat tempoh sah penggunaan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Program Pasar Patuh (3P) di Pasar Awam Taman Perling, di sini semalam.

Pasar Awam Taman Perling, Johor Bahru dipilih sebagai projek rintis Program Pasar Patuh (3P) kerana jumlah pengunjung dan 150 peniaganya yang tinggi serta lokasinya yang strategik.

Menurut Lilis Saslinda, kesalahan yang direkodkan itu menampakkan komitmen pihaknya bagi memastikan peniaga sentiasa patuh kepada undang-undang yang ditetapkan secara berterusan dan memberi keyakinan pengguna secara efektif.

“Pematuhan undang-undang menjadi salah satu pelaburan jangka panjang serta membina kepercayaan kepada pengguna dan sekiranya berlaku kesalahan yang dilakukan oleh peniaga, pengguna digalakkan menyalurkan aduan berkaitan pelanggaran peraturan kepada pihak yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata Program Pasar Patuh (3P) turut mendapat kerjasama rakan strategik seperti Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd.

-RI

Tinggalkan komen anda