Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Jadilah Pengguna Digital Yang Bijak dan Bertanggungjawab

By 12 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 12 Nov (MalaysiaAktif) – Masyarakat diseru untuk menjadi pengguna digital yang bijak dan bertanggungjawab.

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh, masyarakat diingatkan untuk tidak mudah terpedaya, tidak cepat menyebar dan tidak menjadikan ruang maya sebagai medan kebencian.

Simsudin (tiga dari kiri) selepas menyempurnakan perasmian Program Townhall Keselamatan dan Perpaduan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2025.

“Kita kini berdepan cabaran keselamatan yang baharu iaitu ancaman siber dan maklumat palsu, kes penipuan dalam talian (scam), penyamaran digital serta penyebaran berita tidak sahih semakin meningkat di seluruh negara termasuk di Pulau Labuan ini sendiri.

“Pelbagai pihak terutamanya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) telah melaksanakan pelbagai kempen kesedaran digital namun kejayaan sebenar bergantung kepada disiplin diri dan kesedaran masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Townhall Keselamatan dan Perpaduan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2025, di sini semalam.

Pada masa sama beliau berkata aspek keselamatan dan perpaduan akan terus menjadi teras utama dalam perancangan pembangunan Labuan.

“Kita tidak mahu hanya membangunkan bandar moden, tetapi juga mahu membina masyarakat yang selamat, bersatu dan harmoni.

Antara tetamu yang mengunjungi pameran reruai agensi-agensi kerajaan.

“Perbadanan Labuan akan terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi keselamatan dan komuniti setempat dalam memperkukuh infrastruktur keselamatan bandar, keselamatan alam sekitar, dan keselamatan sosial,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.

Antara pengisian program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Labuan itu adalah sesi dialog interaktif ‘Ancaman Media Sosial: Implikasinya Terhadap Perpaduan dan Keselamatan Komuniti’, Ceramah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pameran reruai agensi-agensi kerajaan.

-RI

Tinggalkan komen anda