Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Penjawat Awam Perlu Jadi Benteng Tolak Rasuah

By 12 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Khairol Anuar Derani

GUA MUSANG, 12 Nov (MalaysiaAktif) – “Penjawat awam perlu menjadi benteng utama dalam menolak budaya rasuah,” kata Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan Penguasa Kanan  Wan Siti Junaida Ismail.

Sesi soal jawab bersama penjawat awam dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

“Dekati SPRM bukan bermaksud kita takut, tetapi kita perlu faham dan sokong usaha SPRM untuk membina pentadbiran yang bersih dan telus. Jauhi rasuah kerana ia bukan sahaja menjejaskan imej perkhidmatan awam, malah meruntuhkan kepercayaan rakyat,” katanya ketika memberi taklimat ‘Dekati SPRM, Jauhi Rasuah’ di Bilik Mesyuarat Seroja, Bangunan Persekutuan, di sini semalam.

Program anjuran Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Kelantan yang disertai penjawat awam daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan itu bertujuan memperkukuh nilai integriti dan membanteras gejala rasuah dalam perkhidmatan awam selain memberi pendedahan mengenai bahaya rasuah, salah guna kuasa dan kepentingan melaporkan salah laku.

Antara penjawat awam dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang hadir.

Melalui pendekatan interaktif dan perkongsian pengalaman, peserta didedahkan dengan pelbagai bentuk rasuah yang sering berlaku dalam urusan pentadbiran dan perolehan kerajaan.

Taklimat turut menampilkan sesi soal jawab bersama pegawai SPRM, tayangan video kesedaran serta penjelasan mengenai saluran aduan rasmi bagi melaporkan sebarang kegiatan rasuah.

Program dilihat mampu mendidik dan memberi kesedaran agar setiap penjawat awam terus menolak rasuah, mengamalkan budaya kerja bersih dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat dalam membina negara yang bebas rasuah.

-RI

Tinggalkan komen anda