Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Jelajah Poghak Kito Tarik Minat Pengunjung, Promosi Eko Rekreasi di Kota

By 21 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorul Arizah/Nur Syafiq (Rembau)

REMBAU, 21 Nov (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Poghak Kito bersama Sawara ATV di Kampung Kuala Dadeh, Sawah Raja, Kota, di sini menarik penyertaan penduduk setempat yang ingin mencuba aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi di kawasan luar bandar.

Program di bawah Projek Sejati MADANI Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sawah Raja ini menyediakan dua laluan iaitu Beginner Trail yang mengambil masa antara 45 minit hingga sejam dan Extreme Trail (dua jam), dengan kadar sewaan RM50 dan RM130.

Menurut Pengerusi JPKK Kampung Sawah Raja Ramli Razak, aktiviti berkenaan memberi nilai tambah kepada penduduk setempat dan mampu mengangkat nama Kampung Sawah Raja sebagai lokasi tumpuan pelancong.

“Kami harap SAWARA ATV menjadi projek kebanggaan komuniti. Aktiviti rekreasi sebegini bukan saja menghidupkan ekonomi kampung, malah mengeratkan hubungan masyarakat dan menarik lebih ramai pengunjung untuk mengenali kawasan kami. Terima kasih kepada semua yang menyokong,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.

Sementara itu, seorang peserta, Siti Azura Abdul Rahman, 34, berkata program tersebut memberi peluang kepada peserta sepertinya mencuba pengalaman baharu dalam persekitaran kampung.

“Trek beginner terjaga dan sesuai untuk keluarga. Suasana kampung turut menambah pengalaman sepanjang aktiviti,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Zamakhsyari Sulaiman, 45, berpendapat penganjuran aktiviti rekreasi seperti itu dapat memperkenalkan potensi sumber tempatan kepada masyarakat luar.

“Laluan treknya menarik dan kru memberi panduan yang diperlukan sepanjang aktiviti. Program sebegini boleh membantu memperlihatkan tarikan yang ada di kawasan ini,” katanya.

Secara keseluruhan, penganjuran aktiviti seperti Jelajah Poghak Kito dilihat dapat memberi pilihan rekreasi kepada komuniti setempat di samping mengetengahkan suasana persekitaran kampung sebagai sebahagian daripada pengalaman peserta.

Tinggalkan komen anda