
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 21 Nov (MalaysiaAktif) – Polis melupuskan 22 kilogram (kg) ketamin serta 26 tong cecair campuran dadah bernilai kira-kira RM1.1 juta dalam operasi pelupusan barang kes yang dijalankan semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pelupusan tersebut membabitkan kes yang telah selesai siasatan dan pendakwaan di mahkamah.
Menurutnya, proses dijalankan mengikut prosedur ditetapkan dengan penekanan terhadap aspek ketelitian, integriti dan akauntabiliti.
“Barang-barang kes ini dilupuskan secara terkawal di tapak pelupusan diiktiraf kerajaan, Sailcott (M) International Sdn. Bhd., Teluk Panglima Garang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Ariffin memaklumkan sepanjang Januari hingga pertengahan bulan ini, sebanyak 2,790 tangkapan telah dilakukan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, membuktikan komitmen tinggi pasukan itu dalam mengekang ancaman dadah.
“Orang awam diseru terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan usaha memerangi jenayah itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan generasi akan datang terlindung daripada ancaman dadah,” katanya.
-RI





