
Laporan/foto: Sunday Grace Justimus (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 14 Nov (MalaysiaAktif) – Tidak hanya berkhasiat untuk kesihatan, sayur peria kini dijadikan salah satu produk tani yang boleh diproses dan dijual sebagai snek makanan ringan sekali gus menjadi punca pendapatan buat penduduk luar bandar.
Dengan jenama Peria Goreng Crispy, Putriraisha Mubin, 18, berkata perniagaan produk hiliran itu mula dibangunkan ibunya sebagai pengasas.
Jelasnya, proses untuk menghasilkan peria goreng mempunyai cabarannya tersendiri terutama dari aspek penetapan kualiti peria, penyediaan bahan mentah sehingga peroses menggoreng peria dengan tahap keranggupan yang sesuai.

Putri ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu.
“Bagi proses pembuatan pula agak panjang tetapi kami masih berusaha dan setakat ini semuanya dilakukan secara manual kerana kami masih mengumpul dana untuk membeli mesin. Produk tersebut kini hadir dengan tiga variasi rasa iaitu ikan bilis asli, telur masin, dan keju.
“Pemilihan sayur peria tidak boleh terlalu tua atau terlalu muda dan perlu yang sedang-sedang sahaja. Jika terlalu tua, hasilnya akan lembut dan tidak rangup. Jadi, pemilihan bahan mentah amat penting untuk memastikan produk lebih berkualiti dan sedap,” katanya ketika ditemui di gerai mereka sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIBF) di sini, pada Rabu.
Bagi Putri, biarpun perniagaan itu masih baru, beliau bangga kerana produk yang dahulunya dicipta hanya untuk memenuhi permintaan kecil di Semporna kini sudah berjaya menembusi pasaran tempatan sehingga ke bandaraya Kota Kinabalu.
“Pada awalnya kami hanya sekadar buat untuk makan-makan sahaja dan diberikan kepada tetamu yang datang ke rumah. Namun, apabila kawan-kawan mencuba, mereka mengatakan rasanya sedap dan menggalakkan kami untuk menjualnya.
“Kini produk kami telah pun dipasarkan di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu termasuk International Technology and Commercial Centre (ITCC), Imago Shopping Mall dan Centre Point. Saya harap dengan resepi asas yang diwarisi ibunya dapat membawa produk keluarga ini berkembang dan dikenali ramai serta tembus ke pasaran lebih besar.
Beliau berkata produk berkenaan juga menerima bantuan dan bimbingan keusahawanan daripada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).
“Saya berterima kasih kepada JHEWA kerana banyak membantu serta membimbing kami dalam bidang keusahawanan, khususnya dari segi pembungkusan produk, hingga kami dapat berada di tahap ini,” jelasnya.
-RJ-





